suria

Australia Dedahkan Seorang Warganya Telah Ditahan Di Arab Saudi Manakala Seorang lagi Menyembunyikan Diri

SYDNEY: Seorang warga Australia telah ditahan di Arab Saudi kerana disyaki mempunyai hubungan dengan rangkaian pengganas, demikian didedahkan oleh Menteri Luar, Bob Carr pada Khamis.

Shayden Thorne, 25, telah ditahan di sebuah penjara di luar Riyadh sejak 18 bulan yang lalu.

Pemuda Australia itu dikatakan ditahan selepas laptop yang dipinjamnya dari sebuah masjid didapati mengandungi bahan-bahan yang berkaitan dengan gerakan pengganas.

"Setakat ini, itu sahaja maklumat yang kami dapat perolehi mengenai penangkapannya," demikian menurut seorang jurucakap Carr kepada agensi berita AFP.

Sementara itu Carr ketika bercakap dalam satu sidang media menegaskan, yang Australia mahukan isu tersebut diselesaikan dengan segera kerana ia kini telah berlanjutan selama 18 bulan.

"Saya tidak boleh bercakap sama ada dia bersalah atau tidak tetapi apa yang boleh saya cakap ialah kita akan mewakilinya dalam kes ini," ujar menteri luar itu lagi.

Bagaimanapun Carr mengingatkan bahawa setiap warga asing tertakluk kepada peraturan dan undang-undang mana-mana negara yang mereka masuki.

Shayden, katanya, telah memilih untuk bermastautin di Arab Saudi selama 12 tahun dan undang-undang negara itu terpakai kepada sesiapa sahaja yang mengambil keputusan untuk menetap di negara berkenaan.

Dalam pada itu, Australian Broadcasting Corporation (ABC) melaporkan yang adik kepada Shayden, Junaid Muhammed Thorne, 23, telah turut ditangkap dan dipenjarakan selama beberapa bulan selepas memprotes penangkapan abangnya sebelum dibebaskan.

Carr mengesahkan yang pasportnya telah disita oleh Kerajaan Arab Saudi dan dia kini berada di dalam persembunyian.

Kedua-dua saudara itu berasal dari Perth.

Carr menegaskan sepanjang tempoh pemenjaraan Shayden, pegawai-pegawai kedutaan telah menziarahinya sebanyak enam kali dan mereka turut menghadiri tiga perbicaraan kesnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain