suria

Runtuhan di Dhaka: Jumlah Kematian Cecah 300 Orang

SAVAR: Jumlah kematian ekoran insiden bangunan runtuh di Bangladesh terus meningkat hingga mencecah 300 orang sementara 1,000 lagi dikhuatiri masih terperangkap di bawah runtuhan.

Usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan walaupun kejadian telah masuk hari ketiga pada Jumaat.

"Jumlah kematian yang dicatatkan setakat ini ialah 304," kata jurucakap tentera, Shahinul Islam.

Beliau berkata setakat ini, kira-kira 3,000 orang berjaya diselamatkan sejak bangunan lapan tingkat yang menempatkan beberapa kilang kain runtuh pada 24 April.

Sementara itu, polis Bangladesh terpaksa meredakan kemarahan pekerja kilang pakaian yang berang apabila jumlah kematian ekoran runtuhan bangunan di negara itu terus meningkat.

Pihak polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah kepada pekerja kilang pakaian berjenama berkenaan selepas mereka merempuh sekatan jalan raya dan menyerang kilang serta bas di kawasan bandar Dhaka.

"Situasi sangat tidak terkawal. Ribuan pekerja menyertai demonstrasi," kata pegawai polis pusat kawalan Gazipur, M. Asaduzzaman kepada AFP.

Demonstrasi itu bermula selepas jumlah kematian meningkat kepada 300 orang dalam insiden malang berkenaan.

Artikel Lain