suria

Hospital Di Cateel, Baganga Perlu Ubat Rawat Luka Akibat Taufan Bopha

DAVAO (Mindanao): Penduduk di Baganga dan Cateel, dua lokasi yang terjejas teruk dilanda Taufan Bopha, kini berdepan ancaman tiga penyakit iaitu cirit-birit, radang paru-paru dan penyakit kulit.

Ketua Perubatan Misi Bantuan Kemanusiaan Datuk Dr Alwi Abdul Rahman berkata mereka berdepan dengan penyakit itu ekoran bekalan air, persekitaran serta makanan yang tidak bersih.

"Misi kita pada kali ini membawa bekalan ubat-ubatan dan peralatan perubatan untuk disalurkan kepada hospital ini, yang dilaporkan menerima ramai pesakit di sekitar daerah ini sejak taufan Bopha, termasuk membawa pakar antaranya, pakar kulit dan mata bagi melihat keadaan pesakit di sini.

"Hasil daripada pengamatan kita, penduduk di sini berdepan risiko tiga penyakit ini disebabkan mereka tidak mendapat bekalan air yang bersih, kawasan persekitaran yang tidak terjaga serta makanan yang mungkin tercemar disebabkan badaian taufan ini," katanya kepada pemberita selepas penyerahan sumbangan kepada Ketua Pengarah Hospital Daerah Cateel Dr Dante A.Enriquez, Isnin.

Hospital di daerah Cateel juga dikenal pasti memerlukan ubat serta peralatan bagi merawat luka kecil dan bagi menyambut kelahiran bayi.

Dr Dante berkata buat masa ini, bekalan ubat masih mencukupi namun perlu ditambah untuk memberi rawatan terbaik kepada pesakit.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan KP1M atas sumbangan yang dihulurkan.

Sementara itu, Presiden KP1M Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata misi diteruskan hari ini dengan mengagih bantuan termasuk di Kolej St Mary's Baganga dalam bentuk ubat-ubatan dan peralatan perubatan, selain wang sebanyak 50,000 peso bagi membina semula sebuah masjid di daerah tersebut.

Beliau berkata bantuan seperti barangan keperluan asas, beras, selipar serta berus gigi turut disalur ke kawasan perkampungan di Cateel dan Boston.

Sementara itu, Kaunselor Bimbingan Kolej St Mary's Maria Gloria Cataluna berkata bantuan yang diterima sangat bermakna dan akan diagih kepada penduduk. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain