suria

FTA Dengan Singapura Rapat EU Dengan Asia

SINGAPURA: Penandatanganan Perjanjian Perdagangan Bebas Singapura dan Kesatuan Eropah (EU) turut membuka pintu kepada jalinan perjanjian yang sama dengan negara-negara Asean yang lain dengan EU.

Pesuruhjaya Perdagangan EU Karel De Gucht berkata Singapura adalah satu pasaran yang dinamik bagi syarikat-syarikat EU dan merupakan hab yang penting melakukan perniagaan di seluruh Asia Tenggara.

"Perjanjian itu adalah kunci bagi merungkaikan pembukaan gerbang ke rantau ini dan boleh menjadi pemangkin bagi pertumbuhan bagi para pengeksport EU."

"Selepas menandatangani perjanjian dengan Korea Selatan, penandatanganan perjanjian ini dengan Singapura merapatkan EU dengan Asia. Tetapi, kami tidak berhasrat berhenti di sini kerana saya berharap ia akan membuka pintu kepada penandatanganan lebih banyak FTA dengan negara lain di rantau Asean," katanya dalam satu kenyataan di sini, Isnin.

Pada Ahad, De Gucht dan Menteri Kewangan dan Industri Singapura Lim Hng Kiang telah memuktamadkan perundingan terhadap FTA, iaitu yang pertama antara EU dengan negara Asean yang mempunyai 10 anggota.

Perundingan FTA antara Eu dengan Malaysia dan Vietnam sedang berlangsung manakala persediaan perundingan sedang dilaksanakan dengan negara-negara Asean yang lain. - BERNAMA

Artikel Lain