suria

Malaysia Hantar Bantuan Kedua Bernilai RM250,000 Kepada Mangsa Bopha

DAVAO (Mindanao): Malaysia telah menghantar bantuan kemanusiaan kedua bernilai RM250,000 kepada mangsa taufan Bopha yang melanda selatan Filipina pada 3 Disember lepas.

Bantuan itu dihantar dengan pesawat Charlie milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berlepas dari Pangkalan TUDM Subang, Selangor, pada pagi Khamis.

Penolong Setiausaha Bahagian Pengurusan Bencana, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mohd Ariff Baharom berkata antara barang yang dihantar ialah 2,000 khemah, tuala, beras, susu tepung, jerigen dan makanan dalam tin.

Bantuan itu disampaikan Brig. Jeneral Sanusi Samion, yang mengetuai misi berkenaan kepada Pengarah Pejabat Pertahanan Awam Wilayah 11 Filipina, Lisa Mazo sebaik saja pesawat berkenaan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Davao di sini pada kira-kira pukul 5 petang (waktu Malaysia). Pada 7 Disember lalu, Malaysia menghantar 16 sukarelawan dan 13 tan makanan, pakaian serta barangan keperluan harian lain bernilai RM350,000 kepada mangsa bencana alam itu.

Dalam ucapannya, Lisa mengucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana menjadi negara pertama yang menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa Bopha.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Kebangsaan Mengenai Masyarakat Islam Filipina (NCMF) Salem Demuna pula berkata bantuan itu menjadi bukti hubungan erat dan ikhlas yang terjalin antara Malaysia dan Filipina, khususnya dengan umat Islam Moro. "Kami harap hubungan ini akan dapat ditingkatkan untuk kerjasama pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Sanusi berkata Malaysia sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada negara jirannya dalam semangat Asean. -BERNAMA

Artikel Lain