suria

Permintaan NASA: Kerajaan Thailand Belum Buat Keputusan

BANGKOK: Kerajaan Thailand belum memutuskan permintaan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) untuk menggunakan pangkalan udara U-tapao di Rayong sebagai pangkalan tetap bagi kajian iklim serantau serta operasi bantuan bencana dan kemanusiaan, meskipun tarikh akhir berbuat demikian ialah Selasa depan.

Perdana Menteri Yingluck Shinawatra memberitahu pemberita di sini hari ini sebuah jawatankuasa masih mengkaji permintaan itu.

Yingluck berkata beliau tidak tahu sama ada kajian itu akan siap pada masa itu dan dibentangkan kepada mesyuarat Kabinet Selasa depan.

NASA telah memaklumkan ia akan menarik balik permintaan itu jika Thailand gagal memberi jawapan menjelang Selasa depan kerana pihaknya perlu membawa masuk peralatan yang berkaitan sebelum kajian iklim dijalankan Ogos ini.

Isu itu menjadi kontroversi apabila pembangkang, Parti Demokrat, mendakwa kerajaan Thailand bersetuju dengan permintaan tersebut sebagai pertukaran untuk visa masuk ke Amerika Syarikat kepada bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh pentadbiran Yingluck.

Pihak yang menentang projek itu juga khuatir ia mungkin melanggar kedaulatan wilayah Thailand.

Mereka mendakwa perkara tersebut memerlukan kelulusan Parlimen, manakala sesetengah lagi berpendapat projek NASA mungkin menimbulkan kebimbangan berhubung pengintipan terhadap jiran Thailand kerana membabitkan penerbangan beraltitud tinggi.

Memandangkan banjir teruk melanda satu pertiga negara ini tahun lepas, Kementerian Luar berpendapat Thailand akan memperoleh manfaat saintifik daripada projek itu kerana ia boleh membantu meramalkan keadaan cuaca.

"Saya percaya Amerika Syarikat akan memahami amalan kerja di Thailand meskipun NASA telah menetapkan tarikh akhir," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain