suria

Situasi Banjir Di Thailand Bertambah Baik

BANGKOK: Secara keseluruhan, situasi di Thailand semakin baik dengan air mulai susut di kawasan utara dan tengah selepas negara itu berdepan banjir paling buruk dalam tempoh lima dekad.

Pusat Operasi Bantuan Banjir (FROC) menganggarkan kira-kira 5.5 juta meter padu limpahan air banjir dari kedua-dua kawasan bakal dialirkan ke Teluk Siam dalam tempoh 10 hari.

Pengarah FROC Plodprasop Suraswadi berkata fokus ketika ini ialah mengalirkan limpahan air berkenaan sebelum berlaku air pasang yang tinggi antara 10 November dan 13 November ini. Beliau berkata situasi banjir di Bangkok juga bertambah baik selepas berdepan limpahan air dan musim air pasang tinggi selama tiga hari yang berakhir Isnin. Bagaimanapun, Timbalan Gabenor Bangkok Thirachon Manomaipiboon memberi amaran bahawa seluruh Bangkok masih diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga kerana masih terdapat bahaya ekoran limpahan air banjir yang melalui ibu negara itu sebelum masuk ke laut.

Penduduk Bangkok masih berjaga-jaga dengan kemungkinan berlakunya banjir dan terus mengambil langkah berhati-hati.

Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan kedai di ibu negara yang terletak di kawasan bertanah mengekalkan guni pasir dan tembok banjir sementara setinggi kira-kira 0.6 meter, yang dibina bagi melindungi hartanah mereka daripada banjir.

Sesetengah pemandu juga terus meletakkan kenderaan mereka di jalan raya bertingkat di seluruh negara sejak minggu lepas. Kira-kira satu pertiga daripada Thailand masih digenangi mari dengan lebih dua juta penduduk dari lebih 10,000 kampung di 26 wilayah terjejas akibat banjir yang melanda negara itu secara berperingkat sejak 25 Julai. - BERNAMA

Artikel Lain