suria

Yingluck Jamin Bangkok Tidak Akan Dilanda Banjir

BANGKOK: Perdana Menteri Yingluck Shinawatra yakin bandar raya ini tidak akan dilanda banjir ketika aliran besar air bah dari bahagian utara dan tengah negara mula menghampiri ibu kota pada Ahad.

"Saya yakin Bangkok tidak akan dilanda banjir. Saya mahu rakyat juga percaya," katanya.

Larian air bah itu telah dipesongkan ke Teluk Thailand menerusi Sungai Chao Phraya, terusan dan sistem pengairan lain.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sebelum ini menjangka 16 bilion meter padu air bah, iaitu lapan bilion dari wilayah Nakhon Sawan, enam bilion dari Ayutthaya dan dua bilion dari Phatum Thani, akan tiba di ibu negara.

Menteri Pertanian dan Koperasi Pol Gen Pongsapat Pongchareon berkata antara 500 dan 500 juta meter padu air mengalir ke laut setiap hari.

"Walaupun paras air laut masih tinggi, kita berupaya memesongkan aliran air dengan berkesan. Sebahagian besar air bah kini sudah mengalir ke laut," katanya.

Selain itu, bandar raya ini juga dilindungi benteng banjir yang menghalang air bah daripada memasuki ibu kota.

Yingluck tetap yakin bandar raya ini tidak akan banjir sekalipun ibu kota dilanda hujan lebat dan air pasang tinggi sejak beberapa hari lepas, ditambah dengan aliran air bah pada Ahad.

Kerajaan mengambil pelbagai langkah bagi melindungi ibu negara yang menempatkan pusat pentadbiran kerajaan, hub perniagaan dan kewangan selain didiami lebih 12 juta penduduk.

Perdana Menteri juga menggesa mereka yang tinggal di luar benteng banjir agar tidak merosakkan benteng tersebut.

Suasana tegang dilapor berlaku apabila penduduk di kawasan luar tembok didakwa meruntuhkan benteng selepas kawasan mereka teruk terjejas akibat usaha melindungi ibu negara tersebut.

Sesetengah bahagian di timur Bangkok yang terletak di luar kawasan tembok dilapor dilanda banjir sejak beberapa hari lepas. "Secara keseluruhan, banjir berlaku di kebanyakan tempat. Justeru hari ini kita terpaksa memberi tumpuan kepada beberapa kawasan, tetapi ini tidak bermakna kami mengabaikan mereka yang menderita akibat banjir.

"Kita perlu saling membantu bagi melindungi keseluruhan ekonomi negara," kata Yingluck.

Beliau juga yakin kerajaan dapat melindungi Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi daripada dilanda banjir memandangkang benteng banjir di situ diperkukuhkan. Mengenai ancaman banjir di Taman Perindustrian Nava Nakhorn di Phatum Thani, Yingluck, berkata kerajaan berupaya melindungi kawasan itu daripada bencana tersebut buat masa ini.

Bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, semua pemilik kilang dinasihat memindahkan peralatan mereka ke kawasan tinggi.

Sebelum ini lima estet perindustrian di Ayutthaya -Saha Rattanakorn, Taman Perindustrian Rojana, Hi-Tech Park, Bang Pa-in dan 'Factory Land Industrial Estate' - gagal diselamatkan daripada banjir.

Kira-kira satu pertiga negara ini masih dilanda banjir melibatkan 2.3 juta penduduk di lebih 10,000 buah kampung di 24 wilayah di bahagian utara dan tengah Thailand, yang berlaku secara berperingkat sejak 25 Julai lepas dengan 297 kematian direkodkan. -BERNAMA

Artikel Lain