suria

Zang Toi Pelbagaikan Rangkaian Produk

NEW YORK: Ikon fesyen Malaysia yang berpangkalan di sini, Zang Toi telah memulakan pengembangannya dengan mempelbagaikan rangkaian produk beliau.

Kepelbagaian tanpa mengenepikan tonggak utama perniagaan adalah mantra untuk meneruskan kehidupan dalam persekitaran yang sengit ini, demikian menurut Zang Toi yang kerap mendapat jolokan "wajah terkenal Malaysia di luar negara."

Zang Toi kelahiran Kelantan, kini telah mula mempelbagaikan rangkaian produknya dengan memasukkan kasut mewah dan barang kemas, sekali gus melengkapkan perniagaan fesyen pakaiannya.

"Kasut jenama Zang Toi setakat ini, hanya dijual di Malaysia dan mendapat sambutan menggalakkan. Malah, kalau anda melawat Kuala Lumpur, anda mungkin dapat lihat papan iklan besar yang memaparkan kasut-kasut Zang Toi," kata beliau dalam temubual dengan Bernama di sini.

Selain daripada perniagaan kasut, Zang Toi juga mahu menceburi perniagaan barang kemas dan seterusnya melengkapkan pakej fesyen wanita.

Peranannya dalam segmen barang kemas ialah mengkonsepsualkannya dan mereka bentuknya sendiri.

Idea dan reka bentuknya itu kemudian diterjemahkan menjadi produk barang kemas yang nyata yang akan dihasilkan oleh jauhari yang berpangkalan di Georgetown, Pulau Pinang, Amee Philips yang telahpun menghasilkan reka bentuk barang kemas oleh beliau sebelum ini.

"Kini, kita bercakap mengenai melesenkan barang kemas beliau di kedua-dua Amerika Syarikat dan Malaysia," kata Zang Toi.

Philips telah mengukir namanya sendiri, terutamanya dalam barang kemas permata berwarna. Barang kemas beliau, menurut wanita Malaysia yang telah biasa dengan produknya amat versatil dan sesuai untuk pelbagai majlis.

Koleksi barang kemas tulen Zang Toi, yang baru-baru ini diperkenalkan, direka dengan gaya kontemporari.

Beberapa barang kemas beliau turut digayakan baru-baru ini semasa berlangsungnya Minggu Fesyen New York di mana Zang Toi mengetengahkan koleksi fesyen musim bunga 2012nya.

Satu lagi segmen perniagaan yang akan melengkapkan rangkaian fesyen dan memenuhi pakej lengkap wanita ialah kosmetik.

Zang Toi amat tertarik dengan Amazing Cosmetics, syarikat di luar Chicago, yang telah bekerjasama dengan SEPHORA di Singapura.

"Amazing Cosmetics telah menaja pertunjukan fesyen saya untuk kali ketiga. SEPHORA telah membuka gedung di Kuala Lumpur lewat tahun lepas dan mempelawa Amazing Cosmetics menjadi rakan niaga mereka," kata Zang Toi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain