suria

Lynas Tetapkan Standard Baru Dalam Industri Bumi Nadir

SYDNEY: Lynas Corporation Ltd akan membina kilang pemprosesan di Gebeng, Kuantan, menurut standard baharu yang belum pernah dilihat dalam sejarah industri bumi nadir.

Naib Eksekutif Presiden (Strategi dan Komunikasi Korporat) Dr Matthew James berkata kilang bernilai RM700 juta itu adalah berdasarkan kepada proses dari China tetapi Lynas telah berusaha meningkatkan prestasi persekitaran pemprosesan berkenaan dengan melabur secara besar-besaran dalam rawatan gas dan sisa air serta pengurusan sisa pepejal.

"Dan itulah jenis pelaburan yang tidak berlaku di China kerana mereka belum pernah membina jenis kemudahan seumpama itu menggunakan standard yang sama yang Lynas gunakan.

"Mereka tidak rawat air sebelum dikeluarkan, dan mereka tidak sental dan bersihkan gas sebelum dikeluarkan," kata beliau kepada Bernama dalam temubual eksklusif di ibu pejabat Lynas di sini.

Bagaimanapun, beliau menambah yang banyak perubahan dan penambahbaikan telah berlaku di China dengan perbadanan bumi nadir terbesar Baotao, baru-baru ini mengumumkan pelaburan US$150 juta untuk program persekitaran sisa air/gasnya.

China menghasilkan lebih 90 peratus daripada bumi nadir dunia dan telah melaksanakan pengurangan 40 peratus ke atas kuota eksportya untuk tahun 2010 yang sekali gus menyebabkan kekurangan global dan lonjakan harga.

"Kami akan menetapkan penanda aras yang baharu dalam industri," kata beliau. Lynas sebelum ini merupakan syarikat perlombongan emas dalam tahun 1980an sebelum pengurusan baharu mengambil alih dan mengukuhkan syarikat itu dalam tahun 2002.

Ia akan membina sebuah kilang di Gebeng untuk memproses produk bumi nadir, menggunakan bahan mentah yang diperoleh dari lombongnya di Mount Weld, Western Australia, kira-kira 600 kilometer dari Perth.

Bahan mentah itu pertamanya akan diproses di kilang konsentratnya di tapak lombong dan kemudian dijadikan konsentrat untuk dieksport ke Malaysia.

Konsentrat itu mempunyai 37 peratus kandungan oksida bumi nadir (REO) dan ia akan dihantar ke kilang Gebeng sebaik sahaja Lynas mendapat lesen pra-operasi.

James berkata kajian oleh pakar menunjukkan yang kilang Gebeng itu selamat dan tidak akan mendedahkan sebarang bahaya kepada komuniti dan persekitaran.

Beliau berkata yang konsentrat yang akan dihantar ke Malaysia tidak membahayakan, tiada radioaktif dan tidak disifatkan sebagai barangan merbahaya oleh standard pengangkutan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain