suria

Pesawat Terhempas Di Sumatera: 18 Dikhuatiri Maut

MEDAN: Sebuah pesawat kecil Nusantara Buana Air (NBA) membawa 18 penumpang dikhuatiri terhempas di Baharok, Langkat, satu kawasan pergunungan di Sumatera Barat, Indonesia.

Keadaan lokasi nahas yang berbukit bukau dan hujan lebat menyukarkan anggota mencari dan menyelamat mengesan mangsa dalam perjalanan dari Medan ke Kutacane, Aceh Tenggara.

Pesawat Cassa C-212 buatan Sepanyol membawa 15 penumpang dan tiga kru berlepas dari bandar di sini di Sumatera Utara ke wilayah berhampiran, Aceh, apabila ia terputus hubungan dengan menara kawalan selepas 30 minit di udara, kata Bambang Ervan.

“Pesawat berlepas jam 7.18 pagi dan sepatutnya mendarat jam 8 pagi,” kata jurucakap.

“Kemungkinan besar ia terhempas ketika menghantar satu isyarat kecemasan,” katanya menambah tidak diketahui jika warga asing antara penumpang.

“Pesawat menghantar isyarat kecemasan dan gagal dikesan radar selepas itu,” kata Bonar Hutagoal, marsyal udara kepada TVOne. “Saya nampak sesuatu (yang pelik). Sebuah pesawat berasap terbang rendah sebelum hilang daripada pandangan,” kata saksi, Agus.

Ketua pencari dan penyelamat tempatan Suhri Sinaga berkata pesawat menghantar satu isyarat kecemasan di kawasan Bahorok di wilayah Sumatera Utara.

Sebuah helikopter disewa khas syarikat gergasi perlombongan Amerika Syarikat Newmont Mining terhempas Ahad lalu di tengah Indonesia, mengorbankan dua penumpangnya.

Awal bulan ini, seorang warga Australia dan juruterbang warga Slovakia maut apabila pesawat Cessna Grand Caravan yang membawa bahan api dan makanan ke kawasan terpencil di wilayah Papua, terhempas.

Sebuah lagi pesawat kecil, yang turut mengangkut bekalan ke perkampungan terpencil untuk persatuan kemanusiaan Kristian di Papua, terhempas minggu lalu, mengorbankan seorang juruterbang warga Amerika dan dua penumpangnya. – AP

Artikel Sebelum

Taufan Kedua Landa Filipina

Artikel Berikut

Artikel Lain