suria

Musim Haji Bermula Dengan Ketibaan Jemaah Afrika Selatan

MADINAH: Musim haji di Arab Saudi bermula dengan ketibaan 184 rakyat Afrika Selatan sebagai kumpulan pertama jemaah di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz di Jeddah pada Rabu.

Ketibaan mereka disambut penyelia jawatankuasa sambutan jemaah Pertubuhan Tawafa bagi Jemaah Bukan Arab Afrika Hani Hashm Nasser, lapor 'Arab News'. Akhbar itu juga memetik Pengerusi pertubuhan tersebut Abdul Wahid Burhan Seifuddin sebagai berkata semua persediaan telah diatur untuk membolehkan jemaah menunaikan rukun kelima Rukun Islam tersebut dengan mudah dan selesa.

Beliau berkata kakitangan pertubuhan itu yang ditempatkan di lapangan terbang dilatih dengan prosedur imigresen dan bekerja 24 jam sehari menerusi tiga syif dengan 15 petugas setiap syif, bagi mempercepatkan urusan pasport. Menurut akhbar itu, tahun ini lebih 170,000 rakyat India dijangka menunaikan ibadat haji, selain kira-kira 107,000 jemaah Bangladesh dan 180,000 dari Pakistan.

Sementara itu, pihak berkuasa Arab Saudi menempatkan pegawai kesihatan di semua 14 pintu masuk bagi memantau kesihatan jemaah yang tiba.

Arab News melaporkan pegawai terbabit akan memastikan jemaah telah mengambil semua pemvaksinan yang diperlukan.

Akhbar tersebut turut memetik Timbalan Menteri Kesihatan untuk Perancangan dan Pembangunan Mohammed Khosheim sebagai berkata pegawai berkenaan juga akan memeriksa makanan yang dibawa masuk oleh jemaah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Taufan Kedua Landa Filipina

Artikel Berikut

Artikel Lain