suria

Personaliti TV Amerika Meriahkan Sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Merdeka Di New York

NEW YORK: Personaliti televisyen terkenal Martha Stewart dan Jon Haggins adalah antara 400 tetamu yang hadir memeriahkan majlis sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 dan Hari Malaysia ke-48, yang berlangsung di Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di sini, pada Khamis malam.

Selain kedua-dua personaliti itu, majlis berkenaan turut dihadiri duta dan diplomat asing seperti dari China, Russia, Korea, Australia, Jepun, Kesatuan Eropah, negara anggota Asean, negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Afrika.

Stewart meluangkan masa kira-kira 30 minit bersama tetamu lain menjamu selera dengan menikmati juadah yang dihidangkan ala bufet, sambil beramah mesra dengan Wakil Tetap Malaysia ke PBB Datuk Hussein Hanif dan isteri Datin Sharifah Raguan Syed Ismail serta beberapa petugas pejabat itu.

Antara sajian pada majlis sambutan itu ialah satay, roti jala, kari ayam, char kuay teow, mee wantan, pulut kuning bersama rendang, rojak serta beberapa jenis kuih tradisional. Haggins, yang terkenal dengan rancangan GlobeTrotter, semasa ditemui memuji kelebihan yang dimiliki Malaysia.

"Tahniah kepada Malaysia, negara yang diraikan dan bumi yang dihiasi senyuman. Selamat Hari Kemerdekaan ke-54. Pengalaman saya melawat Malaysia sentiasa hebat dan menakjubkan, masyarakatnya sangat ramah mesra. Saya menyukai makanan dan kepelbagaian budayanya," kata beliau.

Haggins yang bakal melawat Kuala Lumpur dan beberapa negeri lain awal tahun depan untuk rancangan televisyennya turut memaklumkan bahawa beliau kini dalam proses untuk menulis memoir tentang perjalanan hidupnya sebagai seorang pengembara.

"Sudah tentulah saya akan menceritakan pengalaman indah saya semasa melawat Malaysia di samping keenakan makanan dan keindahan budayanya dalam buku saya," katanya.

Kali terakhir Haggins melawat Malaysia ialah lima tahun lepas, dan semasa lawatannya itu beliau mengunjungi beberapa negeri termasuk Sabah dan Sarawak, dan ia disiarkan menerusi segmen pengembaraan di beberapa siaran televisyen di seluruh Amerika.

Sementara itu, Hussein berkata tetamu yang hadir semuanya melahirkan rasa gembira dan teruja dengan sambutan Hari Kemerdekaan yang disifatkan mereka lain daripada yang lain.

"Kita menyambut tetamu untuk sambutan kali ini, lengkap dengan berpakaian kebangsaan, dan kebanyakan diplomat asing ini sangat teruja melihat kita mempunyai pakaian kebangsaan seperti Baju Melayu, Baju Kurung dan Kebaya yang disifatkan mereka sangat cantik dan berwarna-warni, tidak seperti sesetengah mereka yang tidak mempunyai pakaian kebangsaan," katanya.

Tetamu turut dihiburkan dengan persembahan tarian kebudayaan iaitu Joget Payung, Zapin, Wan Bulan dan Endang oleh Malaysian Dance Group of New York. Hussein sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada anggota Persatuan Wanita Kementerian Luar (Perwakilan) New York yang bertungkus lumus menyediakan makanan secara gotong-royong.

Selain itu, Chef Hasni Ghazali dari Restoran Bentara yang beroperasi di New Haven, Connecticut, iaitu kira-kira 200 kilometer dari Manhattan, turut menyediakan juadah untuk sambutan kali ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

15 Maut Letupan Bom Kereta Di Iraq

Artikel Lain