suria

Ucapan Najib Membuka Mata Pelajar Malaysia Di Australia

PERTH: Para pelajar Malaysia di sini berkata ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis sambutan Aidilfitri malam Sabtu memberi semangat baru dan meningkatkan kefahaman mereka tentang pelbagai perkara.

Kata pelajar berkenaan kini mereka lebih faham tentang 1Malaysia dan wawasan Najib untuk melihat rakyat Malaysia hidup dengan lebih makmur dan sejahtera pada masa akan datang.

"Memang beruntung apabila dapat mendengar ucapan perdana menteri dan beliau sungguh mengagumkan," kata Lim Jian Min dari Kedah. Penuntut Curtin University itu berkata Najib telah menjawab semua soalan yang diajukan kepadanya dan berjaya meningkatkan semangat mereka.

Seorang lagi pelajar universiti itu, Farida Hazwani Mohd Ridzuan dari Bangi, Selangor pula berkata: "Saya percaya semua pelajar berasa bertuah kerana dapat bersua muka dengan pemimpin nombor satu kita dan berpeluang mempamerkan semangat Malaysia apabila mereka bergaul dan beramah mesra pada majlis sambutan Hari Raya itu."

Yeoh Weng Loke, pelajar University of Western Australia, berkata dia berasa bertuah kerana mungkin itulah satu-satunya peluang dalam hidupnya untuk berjabat tangan dengan Najib.

"Beliau begitu merendah diri dan amat mesra dengan kami hingga menjadikan kami berasa bangga dengan warisan Malaysia yang unik," kata pelajar yang berasal dari Pulau Pinang itu.

Valerie Radin dari Miri pula berkata Najib telah menjawab semua soalan yang diajukan para pelajar dengan penuh berhemah dan mudah difahami.

Pandangan itu dikongsi Alya Zainal dari Bangi dengan berkata Najib menjawab soalan dalam bahasa yang mudah, termasuk tentang keadaan semasa di tanah air dan kepentingan 1Malaysia.

"Perdana Menteri kita adalah pemimpin yang hebat dan kami bangga dengan beliau," katanya.

Pelajar yang berasal dari Kuching, Sarawak Jalong Eranz berkata dia gembira apabila mendengar Perdana Menteri berkata Malaysia sedang berusaha keras untuk menawarkan upah dan suasana bekerja yang bertaraf antarabangsa.

"Ini merupakan insentif penting bagi saya untuk bekerja di Malaysia dan sudah pasti langkah itu akan membantu menyekat pengaliran keluar tenaga pakar," katanya.

Nurul Izyah Abdullah pula berkata ucapan Najib menjadi perangsang baginya untuk belajar dengan lebih tekun dan menyumbang kepada pembangunan negara.

"Perdana Menteri kita berucap bagai seorang bapa - penyayang, memberi dorongan dan meningkatkan kefahaman," katanya.

Pelajar Edith Cowan Universiti Hassan Hasyin, yang berasal dari Klang, Selangor berkata dia berasa bertuah dan beruntung kerana menghadiri majlis sambutan Hari Raya itu bersama Najib.

"PM kita sungguh hebat dan ucapan beliau mendapat sambutan baik. Ia membangkitkan semangat saya untuk berusaha dengan lebih gigih dalam mencapai cita-cita," kata pelajar itu.

Hamad Hisham Zainal Abidin dari Ipoh pula berkata Najib telah memberi penerangan tentang 1Malaysia dan wawasan murni beliau tentang Malaysia dengan amat jelas.

Sementara itu, Konsul Besar Malaysia Hamidah Ashari memaklumkan kepada Najib bahawa pelbagai universiti di Australia Barat memuji pelajar Malaysia.

"Pelajar kita rajin, berperangai baik dan sentiasa mematuhi undang-undang," katanya.

Najib menghabiskan cuti beliau di Perth untuk mendapatkan rawatan susulan daripada pakar fisioterapi setelah menjalani pembedahan lutut baru-baru ini.

Beliau ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor. - BERNAMA

Artikel Lain