suria

Chris Bowen Beri Amaran Kepada Penyeludup

MELBOURNE: Menteri Imigresen Australia Chris Bowen memberi amaran kepada penyeludup manusia dan bakal pelarian agar tidak mengeksploitasi perintah injunksi mahkamah tinggi yang menggantung penghantaran pencari suaka ke Malaysia.

Bowen pada Selasa mengulangi keyakinannya bahawa perjanjian dengan Malaysia itu sah daripada segi undang-undang, tatkala kerajaan berusaha mendapatkan penyelesaian segera terhadap halangan perundangan tersebut.

Beliau mengingatkan injunksi selama dua minggu yang menghalang penghantaran pencari suaka ke Malaysia, bukan keputusan muktamad mahkamah berkenaan polisi itu.

"Penyeludup dan pelarian harus jelas bahawa ini hanya injunksi sementara. Ini bukan keputusan kes mahkamah," katanya kepada stesen radio ABC.

Justeru katanya, mereka yang berhasrat menggunakan injunksi itu sebagai asas untuk datang ke Australia harus membatalkan niat mereka.

Hakim Kenneth Hayne pada Isnin menggantung perjanjian dengan Malaysia itu apabila membenarkan perintah injunksi menghalang penghantaran pelarian sehingga kes mereka dibicarakan di mahkamah tinggi pada 22 Ogos.

Bowen berkata kerajaan berusaha meyakinkan mahkamah tinggi untuk mengadakan perbicaraan itu lebih awal.

Kerajaan katanya, berkuasa menggunakan satu seksyen di bawah Akta Migrasi bagi 'mengisytihar' atau mengenal pasti negara ketiga bagi penghantaran pelarian.

Bowen memberitahu stesen radio itu: "Kami mendapatkan nasihat perundangan sepanjang perbincangan dan ini adalah sah. Akta dengan jelas menyatakan boleh isytihar negara ketiga."

Sebagai penjaga sah kepada pelarian bawah umur yang tiba di Australia secara bersendirian, Bowen berkata beliau yakin perlindungan di bawah perjanjian dengan Malaysia itu memadai.

Beliau memberi amaran langkah memberikan hak untuk tinggal di Australia secara automatik kepada pelarian bawah umur terbabit bukan keputusan yang boleh diterima.

"Apa yang penting ialah kita mempunyai semua langkah penjagaan dan perlindungan yang perlu memandangkan kita berhadapan dengan isu yang kompleks berkenaan golongan bawah umur yang tiba bersendirian," katanya.

Di bawah perjanjian dengan Malaysia, Australia akan menghantar 800 pencari suaka dan menerima 4,000 pelarian suaka yang sebenar.

Sekalipun perintah injunksi telah dikeluarkan, Australia akan menerima kelompok pertama 4,000 pelarian suaka dari Malaysia minggu ini. - BERNAMA

Artikel Lain