suria

Buku Panduan Sumber Asean Bantu Pelabur Australia Dilancarkan

MELBOURNE: Majlis Perniagaan Australia Malaysia (AMBC) telah melancarkan 'Asean Resources Handbook'.

Buku panduan yang diterbitkan dengan sokongan Jabatan Inovasi Industri dan Pembangunan Serantau Victoria itu, merupakan sumber yang amat berharga bagi organisasi yang ingin mendapatkan risikan perniagaan di negara-negara Asean, kata Presiden AMBC cawangan Victoria, Mike Anderson, pada pelancarannya minggu ini.

Beliau berkata buku panduan itu akan juga membantu anggota-anggota AMBC memahami implikasi FTA pelbagai hala dan dua hala, serta faedah dan potensi perjanjian-perjanjian ini bagi perniagaan dan pelabur Australia.

Naib Presiden AMBC Victoria, Scott Anson, yang mengusahakan sebahagian besar daripada kompilasi buku panduan itu, berkata dengan kira-kira 600 juta orang dalam rantau Asean, Malaysia boleh menjadi gerbang laluan ke pasaran yang besar.

"Kami percaya Malaysia berada pada kedudukan strategik sebagai hab perniagaan penting bagi rantau Asean," katanya.

Kata beliau buku panduan itu memberikan profil setiap negara anggota Asean dan bakal menjadi panduan yang bernilai dan lengkap bagi pelabur dan perniagaan yang mahukan gambaran keseluruhan tentang rantau ini.

Buku panduan itu akan terus dikemaskini dan dikembangkan. - BERNAMA

Artikel Berikut

AS Terima Protokol Ketiga TAC

Artikel Lain