suria

FBI Temui Wang Tunai AS$800,000 Dalam Apartmen James Bulger

SANTA MONICA (California): Biro Siasatan Persekutuan (FBI) telah menemui wang tunai AS$800,000 di apartmen penjenayah paling dikehendaki di negara itu, James "Whitey" Bulger berikutan penangkapannya Rabu lalu.

Penolong Pengarah FBI di Los Angeles, Steven Martinez berkata, mereka turut menemui lebih daripada 30 senjata api, termasuk pistol, rifel dan senapang patah, pelbagai jenis pisau dan juga pelbagai kad pengenalan palsu.

Bulger,81, tersenarai dalam 10 penjenayah paling dikehendaki di Amerika dan FBI telah menawarkan ganjaran wang tunai sehingga AS$2 juta kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat sehingga tertangkapnya penjenayah itu.

Hadiah wang tunai itu adalah yang terbesar yang pernah ditawarkan oleh FBI.

Bulger diburu polis dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) selepas melarikan diri pada tahun 1995.

Menurut FBI, hasil maklumat yang diperolehi daripada orang-ramai menerusi beberapa siri kempen yang dijalankan akhirnya mereka telah berjaya menahan Bulger bersama teman wanitanya Catherine Greig, 60, tanpa sebarang halangan dan masalah.

Kedua-duanya ditahan di sebuah rumah di Santa Monica, California awal Rabu petang.

Bulger, turut dikehendaki kerana disyaki terlibat dalam 19 kes pembunuhan.

Wataknya telah dijadikan filem berjudul "The Departed," arahan pengarah terkenal Martin Scorsese dengan Jack Nicholson memegang Bulger. Filem tersebut turut dibintangi oleh Leonardo DiCaprio dan Matt Damon.

Adalah difahamkan intipan FBI ke atas teman wanita Bulger telah membawa kepada penangkapannya. FBI turut menawarkan hadiah berjumlah AS$100,000 ke atas sesiapa yang dapat memberi maklumat mengenai teman wanita Bulger dan hadiah wang tunai AS$2 juta kepada mereka yang dapat memberi maklumat sehingga tertangkapnya penjenayah besar itu.

Artikel Lain