suria

India Nak Bina Patung Tertinggi Di Dunia

NEW DELHI: Negeri Gujarat di India bercadang untuk membuka tender antarabangsa bagi projek pembinaan patung tertinggi di dunia setinggi 182 meter bernilai AS$300 juta.

Patung tersebut adalah patung seorang pejuang kemerdekaan India yang jika berjaya di dunia akan mencapai ketinggian separuh bangunan Empire State di New York atau empat kali ganda Patung Liberty di New York.

Ia adalah patung mendiang Vallabhbhai Patel, seorang pejuang kemerdekaan India yang menyatukan seluruh negeri di benua kecil itu sebagai sebuah negara.

Patel dilahirkan di Gujarat dan Kerajaan Negeri telah mengeluarkan iklan penuh satu muka surat dalam majalah antarabangsa The Economist menjemput para pembida antarabangsa menyertai tender sebagai perunding projek dan juga perancang rangka struktur projek.

Berdasarkan iklan tersebut, patung Patel yang akan dikenali sebagai "Patung Penyatuan", akan dibina di tebing Sungai Narmada di Gujarat.

Ia adalah projek cetusan Ketua Menteri Gujarat, Narendra Modi, yang percaya, patung itu bukan sahaja bakal berdiri megah tetapi lebih melambangkan nilai-nilai spiritual, akademik, sejarah dan nilai jati diri India itu sendiri.

"Wawasan saya ialah untuk mewujudkan satu tempat yang menjadi sumber inspirasi untuk generasi akan datang dan bukan sahaja masa kini," kata Narendra dalam tulisannya dalam satu laman blog.

Tapak patung itu juga akan didirikan muzium pejuang kebebasan India yang mencatatkan sejarah perjuangan 90 tahun sejarah negara itu dalam memperjuangkan kebebasan.

Malah katanya, tempat itu juga akan berfungsi sebagai pusat kajian akademik untuk mengekalkan penyatuan dan integriti sebuah negara bernama India.

Dikenali sebagai "The Iron Man of India", Patel memainkan peranan utama di samping pejuang-pejuang yang lain dalam menuntut kemerdekaan dari penjajahan Inggeris.

Beliau adalah rakan karib dan penyokong utama Mahatma Gandhi, yang juga merupakan rakan jel pejuang kemerdekaan India itu.

Pada tahun 1934, Patel menerajui Parti Kongres India dan setelah India mencapai kemerdekaan berkhidmat sebagai menteri dalam negerinya yang pertama.

Antara jasanya yang paling diingati ialah bagaimana Patel berusaha untuk menyatukan benua kecil India menjadi sebuah negara yang berdaulat yang sebelum itu berpecah-pecah sebagai negeri-negeri yang diperintah oleh maharajah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain