suria

Ahli Parlimen NZ Iktiraf Osama Pejuang Kebebasan

WELLINGTON: Seorang Ahli Parlimen New Zealand berbangsa Maori yang lantang bersuara memuji pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden yang mati dibunuh sebagai seorang pejuang kebebasan yang memperjuangkan nasib bangsanya.

Wakil rakyat dari parti Bebas, Hone Harawira mengatakan, ada aspek positif dalam hidup Osama haruslah diakui dan menyeru supaya pemimpin Al-Qaeda yang dibunuh pada Isnin dalam serangan tentera khas Amerika Syarikat (AS) itu tidak terus dihina.

"Kita hanya mendengar perkara negatif tentang dirinya daripada apa yang diberitahu AS, tetapi dia telah berjuang untuk nasib masyarakat dan pegangannya," beritahu Harawira kepada stesen televisyen berbahasa Maori pada Isnin.

"Apapun yang dilaporkan oleh media keluarga, puak dan masyarakatnya masih bersedih di atas kematiannya.

"Mereka meratapi pemergian seorang lelaki yang telah berjuang untuk hak, negara dan kebebasan masyarakatnya. Kita seharusnya tidak terus mencela mereka yang telah meninggal dunia tetapi haruslah menghargai aspek kebaikan yang pernah dilakukan di dalam hidup mereka."

Harawira di dalam kenyataannya yang diterbitkan media berbahasa Inggeris pada Khamis berkata, adalah menjadi adat kaum peribumi Maori untuk menghargai dan meratapi pemergian seseorang, tidak terkecuali Osama.

Harawira yang merupakan seorang penasihat dalam hak-hak kaum Maori telah mencetuskan kontroversi tahun lepas apabila mengatakan dia tidak akan membenarkan anak-anaknya berpacaran dengan orang kulit putih New Zealand.

Beliau adalah bekas ahli Parti Maori, sebuah parti sayap di dalam Parti Kebangsaan yang konservatif tetapi bertindak meninggalkan parti itu pada Februari dengan alasan tidak melakukan perkara secukupnya untuk membela nasib kaum peribumi negara ini.

Kenyataanya mengenai kematian Osama itu bercanggah dengan kenyataan Perdana Menteri New Zealand, John Key yang menegaskan:

"Saya percaya yang dunia sekarang adalah lebih selamat dengan ketiadaan Osama," kata John mengenai operasi AS pada Isnin lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain