suria

K'jaan Jepun Mungkin Haramkan Akses Ke Zon Fukushima

TOKYO: Pihak berkuasa mungkin akan menguatkuasakan larangan memasuki kawasan yang dipercayai tercemar dengan sinaran radiasi di sekitar kawasan logi nuklear Fukushima.

Keputusan itu mungkin akan diambil kerana kerajaan bimbang penduduk yang tinggal di sekitar kawasan logi nuklear itu akan pulang ke rumah masing-masing untuk memeriksa rumah dan barangan tinggalan mereka.

Adalah dianggarkan kira-kira 70,000-80,000 orang mendiami 10 pekan dan perkampungan yang terletak dalam lingkungan 20km dari logi nuklear Fukushima Dai-ichi itu.

Logi itu secara terus menerus melepaskan radiasi yang mungkin melepasi tahap bahaya kepada manusia sejak negara itu dilanda gempa bumi pada 11 Mac lalu.

Pada asasnya boleh dikatakan kesemua penduduk yang tinggal berdekatan dengan logi tenaga nuklear itu telah meninggalkan kediaman mereka sejak dinasihati berbuat demikian tetapi dari semasa ke semasa masih ada yang pulang untuk memeriksa kediaman mereka.

“Kami sedang menimbang untuk meletakkan papan tanda kawasan zon larangan," kata Setiausaha Kabinet Jepun, Yukio Edano.

Salah satu kebimbangan kerajaan ialah sekiranya berlaku kebocoran radiasi yang lebih besar, usaha untuk menjejaki penghuni yang pulang ke rumah masing-masing akan menjadi lebih sukar.

Kebocoran yang berlaku di logi nuklear Fukushima adalah yang terburuk dalam sejarah dunia sejak insiden kemalangan di Chernobyl pada tahun 1986.

Logi nuklear di Fukushima adalah milik syarikat elektrik Tokyo dan diguna untuk menghasilkan tenaga elektrik.

Artikel Berikut

Artikel Lain