suria

Wartawan Britain Ditahan Kerana Cuba Godam Telefon

LONDON: Seorang wartawan kanan akhbar mingguan terkemuka Britain, News of the World ditahan polis, Khamis, selepas cuba menggodam telefon bimbit para selebriti dan ahli politik dalam usaha untuk mendapatkan bahan bagi menulis berita.

James Weatherup kini disoal-siasat oleh Polis Metropolitan London.

Beliau menjadi wartawan ketiga yang ditahan polis selepas terdapat dakwaan yang mengatakan wartawan News of the World beberapa kali cuba menggodam pesanan suara telefon bimbit selebriti dan ahli politik dengan tujuan untuk memperolehi bahan berita.

Pemilik akhbar mingguan itu, Rupert Murdoch's News International, telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi memohon maaf secara terbuka minggu lalu berhubung isu berkenaan sambil mengakui tindak tanduk wartawan mereka "tidak dapat diterima".

Aktres Sienna Miller dikatakan salah seorang mangsa yang ditawarkan pampasan oleh pemilik akhbar tersebut bernilai berjuta-juta pound sterling.

Malangnya Miller mahukan kes ini dibicarakan di mahkamah dan enggan berunding harga pampasan yang ingin ditawarkan oleh akhbar tersebut.

Pada tahun 2007, wartawan akhbar yang sama, telah dihukum penjara setelah didapati bersalah cuba memecah kod mesej telefon bimbit dua orang putera Britain iaitu William dan Harry dengan tujuan untuk memperolehi bahan bagi menulis berita.

Skandal menggodam telefon bimbit para selebriti dan ahli politik telah menyebabkan bekas pengarang akhbar News of the World, Andy Coulson, melepaskan jawatannya sebagai Ketua Unit Komunikasi Perdana Menteri Britain, David Cameron baru-baru ini.

Coulson sebelum itu telah meletakkan jawatannya sebagai pengarang akhbar itu apabila wartawan di bawah seliaannya dijatuhi hukuman penjara selepas didapati bersalah menggodam telefon bimbit para selebriti.

Bagaimanapun, selepas berkhidmat dengan Cameron, beliau menegaskan isu tersebut terus menjejaskan tugas barunya dan kemudian turut melepaskan jawatan sebagai ketua komunikasi perdana menteri.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain