suria

Kumpulan Baju Merah Berhimpun Di Hadapan Mahkamah Jenayah Bangkok

BANGKOK: Kumpulan penunjuk perasaan Baju Merah anti kerajaan hari ini mengadakan perhimpunan di hadapan Mahkamah Jenayah di sini, dikatakan kerana mahu mendapatkan keadilan bagi rakan-rakan mereka.

Pemimpin Baju Merah, Jatuporn Prompan membacakan surat tentang nasib rakan-rakan mereka yang masih ditahan dan tidak dibenarkan ikat jamin disebabkan mereka berdepan tuduhan keganasan.

Kira-kira 400 pemimpin dan penyokong Baju Merah masih ditahan selepas tindakan keras tentera pada 19 Mei tahun lepas untuk menyuraikan perhimpunan mereka yang berlangsung tiga bulan di ibu kota ini.

19 daripada mereka berdepan tuduhan keganasan.

Pemimpin Baju Merah mendakwa sikap pilih kasih wujud memandangkan seteru mereka, pemimpin Baju Kuning, yang berdepan tuduhan keganasan kerana menawan Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi dan Rumah Kerajaan sebelum ini, dibebaskan dengan ikat jamin.

Selepas membaca kesemua surat itu, penunjuk perasaan Baju Merah berarak ke Monumen Demokrasi di sini dan tiba di lokasi kira-kira 4 petang.

Mereka bercadang meneruskan bantahan di monumen sehingga tengah malam ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain