suria

Empat Maut Dalam Kejadian Berasingan Di Selatan Thailand

BANGKOK: Empat terkorban, termasuk seorang suri rumah dalam empat kejadian berasingan di selatan Thailand Jumaat ini yang turut menyaksikan empat senapang M-16 dirampas.

Komander Regimen Renjer Hunter 46, Kolonel Phaisarn Noosang berkata dalam kejadian pertama, seorang pemberontak dikenali sebagai Harong Ha, terbunuh ketika pertempuran di Gunung Buodo yang terletak antara daerah Yee Ngor dan Bajor di Narathiwat.

Beliau berkata sekumpulan militan telah ke sebuah kampung berhampiran gunung tersebut dan meminta makanan daripada penduduknya pada awal pagi.

Katanya, penduduk kampung itu kemudian memaklumkan perkara itu kepada mereka yang berjaya menjejak kumpulan militan tersebut di kawasan pergunungan pada 6.15 pagi.

"Selepas 20 minit berbalas tembakan, kami berjaya menembak mati seorang militan dan merampas tiga senapang M-16," katanya yang menambah anggota militan lain berjaya meloloskan diri.

Dalam kejadian kedua, Gabenor Narathiwat Thanon Wetchakornkanont berkata seorang pemberontak lelaki terbunuh ketika bertempur dengan tentera di daerah Ruesor, Narathiwat.

Sepucuk M-16 turut dirampas pihak berkuasa di tempat kejadian, katanya tanpa mendedahkan maklumat lanjut berhubung identiti pemberontak yang mati dan masa insiden itu berlaku.

Sementara itu, jurucakap polis Narathiwat berkata seorang anggota polis berpangkat sarjan, Kittisak Singdam ditembak mati oleh militan di depan Masjid Darul Iman di daerah Yee Ngor.

Dalam insiden 12.50 tengah hari itu, tembakan dilepaskan empat militan yang menaiki dua motosikal.

Insiden terakhir pula membabitkan seorang wanita, Zakini Samaa, 34, yang ditembak mati di depan rumahnya di Manang Dalam, Saiburi, Pattani.

"Mangsa sedang mendukung bayinya ketika ditembak, bagaimanapun, bayi tersebut selamat," kata jurucakap polis Pattani tanpa mengulas masa kejadian itu berlaku. - BERNAMA

Artikel Lain