suria

ISWAMI Anjur Seminar Ekonomi Malaysia-Indonesia Di Bandung

JAKARTA: Satu seminar ekonomi Malaysia-Indonesia dikenali sebagai SEMI 10 akan diadakan di Bandung pada 28 Januari ini dengan tujuan mencari formula terbaik bagi mengintegrasi ekonomi kedua-dua negara sebagai penyumbang ekonomi terbesar di rantau Asean.

Seminar anjuran Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) ini akan turut mengembangkan kerjasama dan sinergi usahawan kedua-dua negara di dalam Asean dan di peringkat dunia.

Seminar itu merupakan lanjutan daripada kejayaan SEMI 09 di Kuala Lumpur pada Disember lepas.

Timbalan Pengerusi ISWAMI Datuk Chamil Wariya berkata bidang ekonomi yang diberi tumpuan pada SEMI 10 ialah salon dan spa, kosmetik, jamu dan herba, produk dandanan, perhiasan, fesyen, busana serta produk makanan dan minuman halal.

"Kerana penganjur program ini ialah media massa sendiri, para peserta seminar secara langsung berpeluang menjalin hubungan dengan media Malaysia dan Indonesia, yang merupakan suatu elemen penting untuk aktiviti pemasaran dan perhubungan awam.

"Peserta juga dapat berhubung terus dengan usahawan dan pembuat produk tanpa melalui orang tengah selain dapat memasar, membeli dan mempelajari produk Indonesia dan memadankan dengan perniagaan masing-masing," katanya di sini, Ahad.

Diva Malaysia Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, yang juga seorang usahawan produk kosmetik dan kecantikan adalah antara ahli panel yang akan memberi ceramah pada seminar yang akan dirasmikan bersama oleh Menteri Kewangan Kedua Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dan seorang tokoh dari kerajaan Indonesia itu.

Chamil berkata acara itu akan disusuli dengan Malam Anugerah Kasih yang akan menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman kerjasama dalam bidang jaringan perniagaan antara usahawan Malaysia-Indonesia, pelancaran buku "Wajah-wajah Malaysia-Indonesia" serta penyampaian empat anugerah.

Ia terdiri daripada Anugerah Kau Wanita Inspirasiku, Anugerah Jasa Pendidik, Anugerah Usahawan Wanita dan Anugerah Wartawan. Siti Nurhaliza akan mendendangkan tiga buah lagu pada acara jamuan malam itu.

Penganjuran SEMI 10 itu disokong oleh Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur dengan Malaysian Banking Berhad (Maybank Bii) sebagai penaja utama. Penyertaan dengan bayaran pakej menarik masih dibuka dan mereka yang berminat boleh menghubungi Othman (012-9403449), Asma (013-3455144) atau 03 -40266655 dan 03-40266669.

Selain acara itu, ISWAMI juga akan menganjurkan Malam Media ISWAMI, juga di Bandung, pada 29 Jan bagi mengeratkan lagi hubungan persahabatan wartawan Malaysia dan Indonesia dan akan dimeriahkan dengan acara cabutan bertuah untuk wartawan Indonesia melawat Malaysia dan sebaliknya, kata Chamil. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain