suria

Pelakon ‘Terminator’ Arnold Schwarzenegger Lepas Jawatan Gabenor

Arnold Schwarzenegger
Arnold Schwarzenegger
Arnold Schwarzenegger

LOS ANGELES: Pelakon ‘Terminator’ Arnold Schwarzenegger pada Isnin melepaskan jawatan sebagai Gabenor California yang disandangnya sejak tujuh tahun lalu.

Dalam sistem politik dan pentadbiran Amerika Syarikat, jawatan gabenor adalah sama seperti jawatan menteri besar atau ketua menteri di Malaysia.

Jawatannya itu akan diambil alih oleh calon dari Parti Demokrat Jerry Brown - dua bulan selepas pilihan raya gabenor yang berlangsung pada 2 November lepas. Schwarzenegger adalah dari Parti Republikan.

Walaupun pentadbirannya dilanda oleh pelbagai dugaan dan cabaran termasuk defisit yang tinggi tetapi pelakon popular yang bertukar menjadi ahli politik itu berkata hanya sejarah yang akan menentukan sama ada rekod pentadbirannya akan disanjung ramai suatu ketika nanti.

Krisis bajet tahun lalu telah menyaksikan California, dari sebuah negeri dengan kedudukan ekonomi yang kelapan terbesar di dunia (jika ia sebuah negara) menjadi sebuah negeri yang hampir-hampir bankrup.

Schwarzenegger yang kini berusia 63 tahun bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas halatujunya selepas ini atau apakah beliau akan kembali ke layar perak semula.

"Apakah saya masih mempunyai kesabaran untuk kembali ke dunia lakonan dengan menghabiskan masa antara tiga hingga enam bulan di set lakonan? Entah...saya tidak tahu...,” katanya melalui pesanan tweeter kepada para peminatnya.

Bagaimanapun dalam satu temuramah yang diadakan dengan akhbar LA Times bulan lalu, pelakon veteran itu berkata, beliau sebenarnya mempunyai beberapa opsyen antaranya menulis autobiografinya, menyampaikan ucapan sebagai penceramah jemputan sepertimana yang dilakukan oleh bekas presiden Bill Clinton, menerjunkan diri dalam dunia perniagaan atau mungkin juga menjadi orang di belakang tabir dalam penerbitan filem.

Schwarzenegger yang berasal dari pekan kecil Graz di timur Austria mencatat sejarah sebagai gabenor California yang kedua yang tidak dilahirkan di Amerika. Beliau adalah gabenor yang ke-38.

Pada tahun 1968, selepas memenangi beberapa siri sukan bina badan, Schwarzenegger yang ketika itu berusia 21 tahun berhijrah ke Amerika Syarikat untuk memulakan hidup baru.

Beliau bekerja keras untuk menjadi seorang yang berjaya dengan memperolehi ijazah sarjana muda ekonomi dan perniagaan dari University of Wisconsin dan kemudiannya menjadi jutawan selepas memperolehi gelaran ‘Mr Universe’ sebanyak empat kali.

Berbekalkan badannya yang sasa, Schwarzenegger diperkenalkan ke dunia lakonan menerusi filem ‘Conan The Barbarian’ dan kemuncak kepada kerjayanya sebagai seorang pelakon ialah apabila beliau membintangi filem "Terminator" dengan kata-kata "I'll be back" yang kemudiannya menjadi ikon dan frasa yang paling digemari dan diingat sehingga ke hari ini.

Lakonannya dalam filem itu juga turut mencatat sejarah sebagai pelakon yang menerima bayaran paling tinggi dengan dialog yang paling sedikit.

Beliau telah berkahwin dengan salah seorang anak saudara kepada ikon politik Amerika - mendiang John F. Kennedy iaitu Maria Shriver.

Satu perkara yang jelas ialah Schwarzenegger tidak memerlukan wang. Ini kerana hasil pendapatannya daripada dunia lakonan telah menjadikannya kaya raya.

Di kemuncak kariernya sebagai pelakon, Schwarzenegger menerima bayaran tidak kurang dari $AS20 juta untuk satu filem. Malah sepanjang tempoh tujuh tahun berkhidmat sebagai gabenor, pelakon itu enggan mengambil gaji.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain