suria

Rakyat Malaysia Di Amerika Tidak Ketinggalan Sambut Deepavali

NEW YORK: Walaupun tinggal jauh di perantauan, rakyat Malaysia di Amerika menyambut Deepavali, yang juga disebut sebagai Diwali oleh kebanyakan perantau keturunan India di sini, dengan penuh meriah.

Banyak rakyat Malaysia, termasuk kanak-kanak, kelihatan begitu gembira ketika menghadiri beberapa majlis perayaan itu di sini, yang diserikan dengan pelbagai acara anjuran warga tempatan dan warga asing berketurunan India.

Pada satu majlis jamuan malam sempena perayaan itu anjuran Wakil Tetap India ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Hardeep Singh Puri pada Khamis malam, kelihatan banyak rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum menghadirinya, di samping anggota perkhidmatan diplomatik yang berpejabat di sini.

Mereka termasuk Setiausaha Agung PBB Ban Ki-Moon dan isteri serta Wakil Tetap Malaysia ke badan dunia itu Datuk Hamidon Ali.

Majlis itu juga diadakan bagi merayakan penerimaan India sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB.

"Saya tidak dapat menggambarkan kegembiraan saya apabila melihat pelbagai jenis masakan India dihidangkan di meja, termasuk makanan pencuci mulut dikenali sebagai mithai. Semua ini mengingatkan saya kepada keenakan masakan Pulau Pinang," kata R. Kuppuswamy, rakyat Malaysia yang berasal dari negeri itu kepada Bernama.

Untuk memeriahkan lagi suasana, majlis ini diserikan dengan persembahan tarian yang sering dapat ditonton melalui filem keluaran Bollywood.

"Sebenarnya saya orang Cina dari Malaysia dan datang ke sini untuk menyambut Deepavali. Sabtu ini, saya akan bawa keluarga saya ke kawasan membeli-belah Jackson Heights untuk membeli barang kemas untuk anak perempuan saya," kata Lyn Chow, dari Ipoh, Perak, yang mendirikan rumah tangga dengan warga India yang menetap di sini.

Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke PBB mengisytiharkan cuti umum bagi petugasnya pada Jumaat sempena Deepavali. Bagaimanapun, beberapa pegawainya hadir di pejabat bagi menangani sebarang kes kecemasan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

54 Korban Terbaru Gunung Merapi

Artikel Lain