suria

PM Pakistan Dijangka Hadiri Forum Ekonomi Islam Dunia Di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Pakistan Syed Yousaf Raza Gilani dijangka menghadiri Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) kali keenam di sini yang dijadual berlangsung dari 18 hingga 20 Mei, kata seorang pegawai Suruhanjaya Tinggi Pakistan kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata Gilani akan mengetuai delegasi menteri, ahli perniagaan dan pegawai tertinggi kerajaan.

Pemimpin Pakistan itu juga dijangka mengadakan perbincangan dua hala dengan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak ketika lawatan itu.

Gilani pertama kali melawat Malaysia pada Julai 2008 ketika beliau menghadiri sidang kemuncak Kumpulan Lapan Negara Membangun Islam (D8) di Kuala Lumpur.

Pegawai Suruhanjaya Tinggi itu berkata Pakistan juga dijangka mengambil bahagian dalam Forum Ahli Perniagaan Wanita WIEF, Forum Pemimpin Muda dan pameran di luar WIEF keenam itu.

WIEF, yang sebelum ini dikenali sebagai Forum Perniagaan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), adalah forum global yang bertindak sebagai sebuah platform perniagaan antarabangsa. WIEF mempunyai ibu pejabat di Malaysia dan mesyuarat sulungnya berlangsung di sini pada 2005.

Malaysia merupakan pelabur utama di Pakistan, negara yang dihuni oleh kira-kira 180 juta penduduk.

Jumlah dagangan antara kedua-dua negara Islam itu mencecah RM6.12 bilion pada 2008, dan meningkat kepada RM6.27 bilion tahun lepas. -BERNAMA

Artikel Lain