suria

Kumpulan Baju Merah Akan Adakan Demonstrasi Besar-Besaran 14 Mac

BANGKOK: Kumpulan baju merah akan mengadakan perarakan besar-besaran yang dijangka disertai sejuta penyokong Thaksin di bandar ini pada 14 Mac bagi memberi tekanan kepada kerajaan untuk membubarkan parlimen.

Pemimpin barisan hadapan bersatu untuk demokrasi menentang diktator (UDD) Nutthawut Saikue berkata penunjuk perasaan akan datang dari segenap pelusuk negara mulai 12 Mac.

Mereka merancang mengadakan demonstrasi di padang besar di Sanamlaung, berhampiran Mahkamah Agung, di sini, awal pagi 14 Mac, katanya pada sidang akhbar di sini.

"Kami rancang protes itu kerana kami mahu kerajaan membubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya umum. Saya yakin kami akan menang kali ini," katanya.

Nutthawut berkata penunjuk perasaan akan meneruskan rancangan untuk mengadakan perarakan besar-besaran itu walaupun kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Pengunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri bermakna pihak tentera akan mengambil alih daripada polis dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam di beberapa kawasan dan mereka boleh mengharamkan perarakan seumpama itu.

"Walaupun kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau mana-mana akta khas, ia tidak akan menjejaskan keputusan kami. Kami akan tetap berarak," katanya.

Nutthawut mengulangi pendirian UDD tidak akan mengadakan perhimpunan Jumaat ini apabila mahkamah agung membuat keputusan mengenai pembekuan 76.6 bilion Baht (RM7.8 bilion) aset milik bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra.

Bagaimanapun, beliau berkata UDD tidak akan menghalang penyokong baju merah daripada menghadiri atau berhimpuan di mahkamah agung kerana ia adalah hak dan kebebasan mereka.

Pada April 2009, penunjuk perasaan baju merah memasuki venue Sidang Kemuncak Asean di Pattaya menyebabkan sidang kemuncak itu dibatal. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain