suria

Rakyat Malaysia Bunuh Pakar Bedah Australia 'Ditahan Secara Tidak Sah'

MELBOURNE: Seorang daripada dua rakyat Malaysia yang disabitkan kesalahan membunuh pakar bedah jantung dari Sydney Dr Victor Chang sedang ditahan secara tidak sah selepas Pihak Berkuasa Lembaga Parol New South Wales (NSW) "melakukan kesilapan", kata seorang hakim Mahkamah Agung NSW.

Phillip Lim Choon Tee dijadual dibebaskan pada 11 November, tahun lepas tetapi lembaga parol membatalkan keputusannya itu sembilan hari kemudian dan sejak itu lelaki itu kekal menjadi orang tahanan, menurut laporan Australian Associated Press. Pada prosiding di Mahkamah Agung hari ini, Hakim Peter McClellan berkata Lim sedang ditahan secara tidak sah sejak November tahun lepas.

Lim, 50, dijadual dibebaskan pada November selepas selesai menjalani hukuman penjara 18 tahun. Bagaimanapun, keputusan itu "dibatalkan" untuk membolehkan kerajaan negeri NSW mengemukakan hujah kepada Pihak Berkuasa Parol Negeri.

Dr Chang ditembak mati di kaki lima di pinggir bandar Mosman yang terletak di utara Sydney pada 4 Julai, 1991 selepas cubaan Lim dan Liew Chew Seng untuk memeras ugutnya gagal.

Lim dan Liew dijatuhi hukuman penjara maksimum, masing-masing 24 dan 26 tahun.

McClellan tidak menyampaikan keputusannya hari ini.

"Saya menangguhkan keputusan saya dan saya akan sampaikan keputusan saya secepat mungkin," katanya kepada mahkamah dan menurutnya keputusan untuk membebaskan Lim yang akan dihantar pulang ke Malaysia sebaik dibebaskan, tidak akan diubah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain