suria

Bali Dilanda Gempa Bumi 6.6 Skala Ritcher

JAKARTA: Penduduk dan pelancong di pulau peranginan Bali merasakan goncangan gempa bumi berukuran 6.6 pada skala richter awal pagi ini.

Gempa yang berlaku pada pukul 2.43 pagi waktu tempatan itu turut dirasai sebahagian penduduk di Jawa Timur dan Pulau Lombok, yang berhampiran dengan Bali, namun ia tidak mengakibatkan sebarang kerosakan pada bangunan atau kemalangan jiwa.

Berdasarkan data dari Badan Meteorologi dan Geofisika Indonesia, gempa bumi berkedalaman 10km itu berpusat di Launtan Hindi pada kedudukan 210km ke Barat Daya Nusa Dua, Bali atau 212km ke Barat Daya Kuta, Bali dan ia tidak berpotensi mengakibatkan ancaman tsunami.

Semasa kejadian berlaku, kebanyakan penduduk sedang nyenyak tidur.

Ketua Pusat Data dan Perhubungan Awam Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Priyadi Kardono berkata secara relatif gempa itu adalah kecil kerana meskipun ia dalam, penduduk hanya merasakan impaknya pada sekitar 2 hingga 3 MMI (Modified Mercalli Intensity) dan ia berlaku hanya beberapa saat.

Priyadi berkata sungguhpun gempa itu cukup kuat untuk membangunkan penduduk daripada tidur, ia tidak mengganggu aktiviti harian mereka.

Katanya badan itu akan terus memantau kejadian tersebut daripada pelbagai sumber termasuk dari pihak polis tempatan.

Penduduk Bali tidak diberikan sebarang nasihat khusus berikutan kejadian itu kecuali diminta terus berwaspada terhadap gempa bumi tidak diduga. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain