suria

Lima Lelaki Sydney Dipenjara, Komplot Lakukan Serangan Pengganas

MELBOURNE: Lima lelaki Sydney yang disabitkan kesalahan kerana berkomplot untuk melakukan keganasan jihad di bumi Australia dijatuhi hukuman penjara antara 17 tahun tiga bulan dan 21 tahun, menurut laporan Australian Associated Press.

Hakim Anthony Whealy menjatuhi hukuman itu hari ini terhadap kesemua tertuduh di Mahkamah Agung New South Wales di pinggir bandar Parramatta.

Pada Oktober lepas, setelah lebih empat minggu mempertimbangkan keputusan, juri mendapati mereka bersalah melakukan konspirasi yang membabitkan penyimpanan stok simpanan bahan kimia mudah meletup dan senjata api.

Kesemua tertuduh yang berusia antara 25 dan 44 tahun, masing-masing didapati bersalah berkomplot untuk melakukan perbuatan itu sebagai persediaan bagi melaksanakan tindakan keganasan antara Julai 2004 dan November 2005.

Dalam perbicaraan yang berlarutan agak lama, Richard Maidment, bagi pihak pendakwaan, berkata kesemua tertuduh merupakan penganut Islam yang warak didorong kepercayaan pelampau, yang berkomplot melakukan keganasan jihad sebagai membalas dendam ekoran peperangan di Iraq dan Afghanistan.

Mereka mengambil masa berbulan-bulan untuk mendapatkan bahan kimia, senjata serta peluru dan penemuan bahan kesusasteraan pelampau di rumah mereka menunjukkan mereka mempunyai niat kejam, katanya.

Hakim Whealy berkata sekurang-kurangnya lelaki terbabit bercadang untuk mendatangkan kerosakan teruk ke atas harta penduduk, tetapi beliau tidak dapat memutuskan bahawa mereka bercadang untuk melakukan pembunuhan, walaupun tertuduh sedar tindakan mereka itu berkemungkinan besar boleh mengancam nyawa.

Tiada seorang pun daripada tertuduh menunjukkan kekesalan dan kemungkinan untuk mereka dipulihkan adalah sukar, kata hakim. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain