suria

Tentera Laut Sri Lanka Rampas Kapal Seludup Senjata

NEW DELHI: Tentera Laut Sri Lanka mengumumkan pihaknya telah merampas gudang senjata terapung terbesar milik Kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam's (LTTE) iaitu sebuah kapal bernama "MV Princess Chrisanta."

Dalam kenyataannya, Kementerian Pertahanan berkata pasukan tentera laut telah mengiringi kapal berkenaan ke Pelabuhan Colombo, tetapi tidak menyatakan tempat kapal itu ditahan.

"Kapal berkenaan berukuran 89m panjang dan telah digunakan bagi menyeludup senjata serta manusia semasa perang dahulu. Agensi perisikan banyak membantu dalam kejayaan ini," kata kenyataan itu.

Mei lepas, tentera Sri Lanka berjaya mengalahkan LTTE, sebuah kumpulan militan yang amat digeruni suatu ketika dulu bagi menamatkan perang saudara yang berlarutan selama hampir suku abad.

Menurut laporan, bekas peniaga senjata LTTE K. Pathmanathan yang lebih dikenali sebagai KP, dan ditawan Ogos lepas, memberi maklumat kepada pihak berkuasa tentang kedudukan kapal itu.

LTTE melancarkan perang terhadap kerajaan bagi mendapatkan tanah air berasingan bagi penduduk minoriti Tamil di utara negara itu.

Sekurang-kurangnya 80,000 orang terbunuh dalam perang saudara itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain