suria

Guru tadika muncul hero selamatkan murid tercekik

HUNT (kanan) bersama Fallen, kanak-kanak tercekik yang berjaya diselamatkannya. — Agensi

SEORANG guru tadika dianggap sebagai hero apabila bertindak pantas menyelamatkan nyawa seorang muridnya yang berusia 5 tahun, di Indiana, Amerika Syarikat.

Ketika kejadian, Chene Hunt yang baharu sahaja berkhidmat di Pleasant Ride Elementary School dekat Charlestown itu menyedari Fallen Coleman tercekik ketika kanak-kanak terbabit sedang menikmati makan tengah hari pada bulan lalu.

“Semasa saya memandangnya, saya perasan bibirnya mulai berubah menjadi biru dan ketika itu barulah saya tahu dia sedang tercekik,” kata Hunt yang juga bekas juruteknik bilik kecemasan selama 18 tahun.

Guru itu kemudiannya bergegas menuju ke arah Fallen di kantin sebelum menyelamatkan nyawa kanak-kanak itu di hadapan 25 muridnya yang lain.

“Sukar untuk bernafas. Dia menolong saya dengan memberi heimlich maneuver (teknik bantuan ketika tercekik),” kata Fallen.

Berikutan kejadian menakutkan itu, Fallen dibawa ke bilik rawatan, sementara ibu bapanya turut dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Hati saya berdegup laju dan ia sangat menakutkan saya. Tetapi saya gembira apabila anak saya baik-baik saja. Nasib baik mereka segera memaklumkan kepada saya,” kata ayah Fallen, Dustin Coleman.

Dustin dan isterinya, Shawna kemudiannya bertemu dengan Hunt bagi mengucapkan penghargaan kepada guru itu selepas menyelamatkan anak mereka.

Khamis lalu, sekolah itu memberi maklum balas mengenai kejadian itu dalam hantaran di laman Twitter, dengan memuji guru tadika berkenaan.

“Kami sangat bangga dengan Hunt!” tulis mereka. — People

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Global, guru, hero, tercekik, sekolah,

Artikel Berikut

Artikel Lain