suria

Lelaki hilang ketika taufan, akhirnya ditemukan dalam perut buaya

BUAYA seberat lebih 226 kilogram menyerang mangsa ketika Taufan Ida membadai AS bulan lalu. — Agensi

MAYAT manusia ditemui di dalam perut buaya besar yang disyaki menyerang seorang warga emas di Louisiana, Amerika Syarikat (AS).

Menurut Pejabat Sheriff Paroki St. Tammany, krunya menangkap buaya sepanjang 12 kaki dengan berat lebih dari 500 paun (226 kilogram) berhampiran lokasi Timothy Satterlee, 71, diserang ketika Taufan Ida membadai negara itu bulan lalu.

Sebelum ini, isteri Satterlee melaporkan kepada pihak berkuasa bahawa dia berada di kediamannya sebelum mendengar kekecohan di luar dan melihat buaya menyerang suaminya pada 30 Ogos lalu.

Ketika kejadian, Satterlee kehilangan lengannya dalam pertempuran yang mengerikan itu, sementara isterinya bergegas mendayung sampan sejauh satu kilometer melalui air banjir bagi mencari pertolongan.

Namun, ketika pihak berkuasa tiba, Satterlee tidak dapat ditemui.

Mereka kemudiannya menggunakan beberapa kenderaan termasuk kapal layar untuk mencari mangsa, namun tetap gagal.

“Selama tiga minggu terakhir, anggota St. Tammany Parish Sheriff's Office Special Operations Division bersama-sama rakan-rakan negeri dan Persekutuan bekerja tanpa henti menggeledah lokasi kejadian, dengan harapan dapat mencari Satterlee atau buaya yang menyerangnya.

“Usaha mereka berbaloi dengan penangkapan buaya yang disyaki menyerang Satterlee,” kata pejabat Sheriff dalam satu kenyataan.

Penangkapan buaya itu dilakukan oleh pemburu berlesen Philip McClurke dan Eric Dumas, yang memasang perangkap berhampiran dengan lokasi kejadian.

“Setelah buaya berkenaan berjaya ditangkap, apa yang kelihatan adalah mayat manusia di dalam perutnya.

“Ini adalah tragedi mengerikan dan ucapan takziah dan simpati saya kepada keluarga Satterlee,” kata pejabat Sheriff.

Menurutnya lagi, mereka akan berusaha mengesahkan mayat ditemui itu sebagai milik Satterlee dengan bantuan penyiasat. — People

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

buaya, warga emas, hilang

Artikel Lain