suria

"The Special One" Dibayar Gaji RM3.2 Juta Sebulan Selama 4 Tahun

LONDON: Bekas pengurus Chelsea dan kini bekas pengurus Inter Milan, Jose Mourinho khabarnya dibayar gaji 8 juta pound Sterling (bersamaan RM38.52 juta) setahun untuk berkhidmat sebagai pengurus baru Real Madrid.

Ini bermakna gaji Mourinho sebulan adalah sebanyak lebih kurang RM3.2 juta.

Dan berdasarkan kontrak perkhidmatan beliau selama empat tahun yang bakal ditandatanganinya nanti, Mourinho nampaknya akan memperolehi keseluruhan gaji sebanyak RM154.08 juta.

Ini belum termasuk lagi royalti atau bonus jika berjaya memenangi La Liga atau Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Tawaran yang sangat luar biasa ini, menjadikan beliau pengurus yang menerima gaji paling lumayan di Eropah.

Dan tawaran lumayan ini juga menjadi penyebab mengapa Inter Milan tidak mampu untuk menahan Mourinho daripada berhijrah ke Real Madrid.

Malah tidak ada mana-mana kelab Eropah buat masa ini termasuklah Manchester United yang mampu menandingi apa yang mampu dilakukan oleh Real Madrid.

Mourinho juga dikatakan bakal menerima bajet berjumlah 100 juta pound Sterling (bersamaan RM481.48) untuk membeli pemain-pemain baru musim hadapan.

Dengan bajet yang sebesar itu, kebanyakkan kelab Eropah terutamanya kelab dari Liga Perdana Inggeris berasa gelisah pemain-pemain mereka akan ditarik oleh Mourinho ke Real Madrid.

Antara senarai pemain yang dikenalpasti sebagai menjadi pilihan pengurus berusia 47 tahun itu ialah Didier Drogba, Frank Lampard dan Ashley Cole dari Chelsea malah Mourinho juga masih mengekalkan hubungan yang rapat dengan Michael Essien dan Petr Cech.

Untuk rekod, Mourinho meninggalkan Chelsea pada tahun 2007 sebelum memutuskan untuk menyertai Inter dua tahun kemudian.

Liverpool juga kini wajar berasa gelisah kerana ketika di Chelsea dahulu, Mourinho pernah dua kali cuba untuk membeli Steven Gerrard dan kini dengan poket yang penuh berisi wang, ramai pemerhati sukan meramalkan beliau akan cuba sekali lagi menarik perhatian penolong kapten pasukan England itu.

Apatah lagi dalam situasi yang mana Liverpool tidak akan bermain dalam Liga Juara-Juara Eropah musim depan, Gerrard mungkin akan beralih arah ke kelab lain yang dapat memberikannya pentas untuk beraksi dalam liga yang lebih besar dan lumayan. Dalam konteks ini, hanya Real Madrid sahaja yang dapat memberikan tawaran tersebut.

Pada masa yang sama, Mourinho juga adalah peminat setia Wayne Rooney dan penyerang England itu juga tidak akan terlepas dari radar “the special one” itu.

Artikel Lain