suria

Terengganu Mungkin Terlepas Pingat Emas Acara Renang Sukma Ini

KUALA TERENGGANU: Terengganu mungkin kehilangan pingat emas dalam acara renang pada Sukan Malaysia (Sukma) di Melaka bulan depan berikutan jaguh renangnya Carmen Ooi tidak dapat beraksi dalam saingan kali ini.

Setiausaha Persatuan Renang Amatur Terengganu (PRAT) Yan Kong Lee berkata pihaknya tidak dapat menurunkan atlet itu pada Sukma kali ini kerana Carmen sibuk dengan pelajarannya.

Pada edisi Sukma lepas, Terengganu memperolehi tiga pingat emas melalui Carmen.

Yan yang juga pengurus pasukan renang negeri berkata empat atlet lelaki yang akan menjadi taruhan Terengganu pada Sukma ini terdiri daripada Benjamin Wong, Keith Siah serta pasangan adik beradik, Wan Arif Shah Wan Sarman dan Wan Adli Safian Wan Sarman, manakala dua perenang wanita terdiri daripada Chelsea Chong dan Hoh Hui Shan.

"Dua orang lagi atlet wanita yang lahir di luar Terengganu sedang menunggu surat pelepasan daripada negeri masing-masing untuk mewakili negeri Terengganu," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Yan berkata Terengganu menyandarkan harapan untuk meraih pingat emas dalam acara renang pada Sukma kali ini di bahu Chelsea Chong menerusi acara 100 meter kuak lentang dan 200 meter medley perseorangan.

Beliau berkata Terengganu tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi memandangkan umur atlet-atletnya terlalu muda iaitu antara 14 dan 17 tahun.

Katanya semua atlet-atlet renang Terengganu kini berlatih di Kuala Lumpur disebabkan Kompleks Kolam Renang Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) ditutup.

Acara renang Sukma akan bermula dari 16 hingga 19 Jun ini, katanya.

Artikel Lain