KLIA Diiktiraf Lapangan Terbang Kedua Terbaik Dunia

Diterbitkan: Jumaat, 4 April 2014 6:13 PM

klia

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) diiktiraf sebagai lapangan terbang kedua terbaik pada Anuegrah Lapangan Terbang Dunia Skytrax 2014.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipilih sebagai lapangan terbang kedua terbaik pada Anugerah Lapangan Terbang Dunia Skytrax 2014, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Pengiktirafan itu bagi kategori lapangan terbang yang menyediakan perkhidmatan untuk 40 juta sehingga 50 juta penumpang.

Pengarah Urusannya, Tan Sri Bashir Ahmad berkata, KLIA secara konsisten menerima penganugerahan itu daripada Skytrax sejak 2010, di mana ia melibatkan testimoni usaha MAHB berterusan dalam mempertingkatkan pengalaman dan kepuasan pelanggan yang menggunakan lapangan terbang itu.

"Pencapaian ini sesuatu yang bermakna dan saya mengucapakan terima kasih dan tahniah kepada pasukan bertugas di KLIA, yang terus menaikkan lagi imej KLIA dan reputasi Malaysia Airports," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Bashir berkata, dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) yang akan menggantikan Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCC) tidak lama lagi, akan menyediakan lapangan terbang yang lebih besar dengan kemudahan lebih baik.

Beliau menambah, ia akan membantu dalam menyokong pertumbuhan trafik yang baik bagi kemasukan ke Malaysia.

"Kita optimistik bahawa kita akan terus memberikan prestasi yang baik apabila KLIA2 hanya akan menyediakan perkhidmatan lebih baik, pada tahap dan pengalaman yang selesa, sebagai nilai tambah buat para pelanggan," katanya.

Anugerah Lapangan Terbang Dunia Skytrax itu berdasarkan pencalonan 12.85 juta pelanggan melibatkan 110 kewarganegaraan, meliputi 410 lapangan terbang di seluruh dunia.

Kaji selidik itu menilai kepuasan para pelanggan dengan 39 petunjuk prestasi utama (KPI) untuk produk dan perkhidmatan lapangan terbang, dari daftar masuk, ketibaan, pertukaran, membeli-belah, keselamatan dan imigresen, sehingga ke pelepasan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan