suria

Akhyar Rashid rugi 5K, 2 suspek kes samun bersenjata diburu!

Akhyar didakwa menjadi mangsa samun dalam kejadian di Terengganu.

INSIDEN yang menimpa pemain pasukan Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid, 25, yang diserang dua individu tidak dikenali pada malam Khamis, dipercayai bermotifkan samun.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor pada Jumaat.

Akhyar yang lebih mesra dipanggil Mat Yat diserang berhampiran sebuah kondominium di Kuala Terengganu dalam kejadian 8.30 malam itu, mengalami kecederaan di kepala, kaki kiri dan lengan kiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Gempar Akhyar Rashid cedera dipercayai dipukul, disamun

Menurut Azli, mangsa yang juga pemain bola sepak kebangsaan itu tiba di kawasan kediamannya selepas selesai sesi latihan bola sepak di stadium di Gong Badak, Kuala Nerus.

"Suspek yang memakai 'mask' dan menutup kepala dengan baju hoodie itu juga dipercayai memukul mangsa menggunakan besi yang boleh laras.

"Suspek kemudian mengambil beg duit mangsa yang disimpan dalam beg bimbit dipegang oleh mangsa sebelum beredar dari lokasi kejadian menaiki sebuah kenderaan," katanya.

Azli berkata, mangsa yang dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menerima enam jahitan iaitu empat jahitan pada bahagian atas kepala dan dua jahitan di atas tapak kaki kiri selain sakit pada anggota badan.

Menurutnya, berdasarkan laporan yang diterima, mangsa kehilangan beg tangan berharga kira-kira RM4,000, dompet bernilai RM800, kad pengenalan dan lesen memandu dengan jumlah kerugian lebih RM4,800.

"Usaha mengesan dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian ini giat dijalankan" katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain