suria

Tinggalkan topeng selepas misi bantu orang awam selesai, geng pemuda sorok identiti buat kebaikan

Tangkap layar video yang tular di media sosial.

TULAR video memaparkan sekumpulan pemuda mengagihkan ayam mentah sebanyak 100 ekor di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Khamis malam.

Dikenali sebagai XYZ Mission di platform TikTok, sekumpulan lelaki yang terdiri daripada lima ahli itu memakai topeng muka bagi menyembunyikan identiti sebenar.

Dalam video kedua selepas rakaman pertama yang dimuat naik tular, geng bertopeng berkenaan muncul sekali lagi untuk membuat pengakuan kepada umum tentang diri mereka.

Sebagaimana dijelaskan oleh salah seorang ahli, dia berkata mereka berlima hanya manusia biasa sambil memberitahu tujuan sebenar kumpulan berkenaan ditubuhkan.

"Kami bukan selebriti, kami bukan siapa-siapa.

"Tujuan kami menubuhkan kumpulan ini dalam identiti bertopeng adalah untuk membantu orang tanpa mereka kenali siapakah diri kami," ujarnya mewakili kumpulan tersebut.

Bagaimanapun, mereka menegaskan tidak mengharapkan sebarang balasan atas kerja-kerja kebajikan yang dibuat tetapi meminta masyarakat berdoa supaya kumpulan itu terus dimurahkan rezeki untuk membantu lebih ramai orang.

Selain itu, misi agihan ayam yang didakwa diperolehi dari sumber halal itu akan diteruskan untuk hari seterusnya.

"Kami juga akan bantu dengan apa yang kami mampu lakukan. Kami akan kemas kini lokasi untuk berikan bantuan berikutnya di platform (TikTok) ini.

Kumpulan tersebut memakai topeng ketika membuat kerja kebajikan.

"Kami juga akan tinggalkan topeng di tempat kejadian selepas selesai misi tersebut," katanya.

Menerusi ruangan kapsyen video, geng bertopeng ini turut mendedahkan status diri mereka bagi menjelaskan keraguan rakyat.

"Kami semua beragama Islam dan bangsa Melayu. InsyaAllah kami akan tolong lebih ramai orang. Doakan kami," tulisnya.

Terbaharu, XYZ Misson meneruskan misi memberi bantuan dengan mengemas kini lokasi untuk mengagihkan bantuan iaitu di Masjid As-Salam Puchong Perdana, Selangor pada petang Jumaat.

Menerusi posting berkenaan, mereka memaklumkan akan memberikan bantuan berbentuk keperluan asas kepada orang ramai.

Meninjau ruangan komen, rata-rata netizen kagum dengan usaha kumpulan ini dan mendoakan mereka agar dimurahkan rezeki.

Ada yang mencadangkan usaha ini diteruskan lagi dengan memberi bantuan di kawasan luar bandar pada masa akan datang.

"Utamakan kawasan yang penduduk berpendapatan rendah.

"Abang ada kerja kosong lagi tak, saya nak kerja juga ni.

"Alhamdulillah terima kasih orang baik. Semoga dimurahkan rezeki dan dipermudahkan urusan dunia akhirat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain