suria

Nak pergi kenduri pakailah baju ikut majlis... Ambil tahu 6 jenis kemeja sesuai untuk setiap acara

Pelbagai jenis kemeja boleh digayakan mengikut kesesuaian majlis.

APABILA bercakap tentang kemeja lelaki, usah berfikiran stereotaip bahawa pakaian itu hanya sesuai digayakan untuk acara formal sahaja.

Hakikatnya kemeja juga sesuai digayakan dalam pelbagai majlis dan situasi mengikut kesesuaian dan keselesaan.

Jadi untuk sentiasa tampil segak, jangan hanya bergantung kepada sehelai kemeja semata-mata.

Terdapat enam jenis kemeja yang perlu anda miliki bagi memudahkan penggayaan.

1. Kemeja putih lengan panjang

Sudah pasti kemeja putih lengan panjang merupakan pilihan terbaik golongan lelaki kerana ia boleh digayakan secara formal atau tampil dalam mod minimalis,

Selain digayakan dengan blazer untuk ke pejabat atau urusan formal, anda juga nampak segak dan bergaya jika menyarungkan kemeja putih berlengan panjang bersama denim, seluar slack mahupun chinos.

Malah, pakaian ini boleh membuatkan anda kelihatan lebih santai dalam acara semi formal.

Namun, pemakaian kemeja putih haruslah disesuaikan dengan bentuk badan anda.

Untuk anda yang berbadan besar pastikan anda menyarungkan kemeja putih ini dengan saiz yang tidak terlalu besar atau tidak terlalu kecil.

Harus diingatkan juga untuk memilih kemeja putih daripada material berkualiti untuk menyerlahkan penampilan anda.

2. Baju kemeja hitam

Kemeja hitam juga tidak kurang pentingnya untuk dijadikan koleksi simpanan lelaki kerana kegunaannya sama seperti kemeja putih.

Selain boleh digunakan untuk tujuan formal, ia boleh digayakan bagi aktiviti santai jika dipadankan dengan seluar denim, slack atau chinos.

Malah pemakaian kemeja hitam ini akan menampakkan sisi matang dalam diri seorang lelaki, selain menyerlahkan sisi cool dan maskulin dalam penampilan.

3. Baju kemeja berkotak (flanel atau plaid)

Kemeja flanel dengan corak kotak-kotak sering menjadi pilihan lelaki untuk tampil santai.

Ia boleh digayakan begitu sahaja atau dijadikan baju luaran yang dipakai bersama t-shirt atau singlet dengan seluar denim untuk menonjolkan aura karakter anda yang lebih cool.

4. Baju kemeja denim

Kemeja denim sesuai digayakan untuk acara santai kerana mampu menyerlahkan imej maskulin seseorang lelaki selain sangat praktikal dan selesa.

Ia sesuai dipadankan dengan seluar jeans atau seluar jeans putih bersama boots, sneakers atau loafers.

Selain untuk acara santai, kemeja denim juga sesuai digayakan bersama blazer dan chinos untuk pakaian ke pejabat.

Tidak hanya warna biru, kemeja denim juga hadir dalam pelbagai warna antaranya biru gelap, hitam, putih dan coklat untuk disesuaikan dengan warna kulit dan gaya anda.

5. Baju kemeja bercetak (printed)

Kemeja bercetak juga menjadi antara pilihan lelaki untuk kelihatan lebih moden.

Bagaimanapun utamakan ciri penting pada kemeja bercetak ini agar ia sesuai dengan karakter diri dan warna kulit anda.

Jangan memilih motif dan warna yang keterlaluan sehingga menenggelamkan penampilan.

6. Baju kemeja batik

Selain dipakai guru di sekolah pada hari Khamis, kemeja batik sinonim dengan golongan berusia.

Namun dengan adanya revolusi fesyen yang mana potongan kemeja batik tampil lebih kemas dan ‘fit’, ia menyebabkan busana ini semakin mendapat tempat di hati ramai lelaki muda.

Jika bosan asyik menyarungkan kemeja biasa, apa kata jadikan kemeja batik sebagai pilihan untuk anda bergaya ke majlis rasmi.

Bagi yang mempunyai kemeja batik berlengan pendek, anda boleh gayakan ia untuk acara yang lebih santai seperti majlis perkahwinan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain