suria

Teka-teki banglo sewa RM100 terjawab! Penyewa dihempap, makhluk budak perempuan tunjuk diri selepas anak patung dibuang

Sejak kejadian itu, Mohd Adha sering mengalami kejadian dihempap ketika tidur. -Gambar hiasan

SIAPA tidak seram diganggu makhluk menyerupai seorang kanak-kanak apatah lagi 'benda' itu berani memunculkan diri dan melakukan pelbagai perkara menakutkan.

Itulah yang terjadi kepada seorang pemuda, Mohd Adha ketika menyewa di sebuah banglo bersama rakannya di sebuah kejiranan mewah di Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan bahagia tapi derita semakin parah selepas diijabkabul... pengantin perempuan tak bermaya, dalam mimpi ada sesuatu berbisik "suami bukan sayang awak pun..."

Apa membuatkan Mohd Adha tertarik untuk menyewa di rumah itu, ia bukan sahaja dekat dengan pejabatnya tetapi kadar sewanya juga cukup murah iaitu RM100 sebulan.

"Saya masih ingat ketika itu saya baru mendapat kerja di Kuala Lumpur dan mengambil keputusan mencari rumah sewa kerana jauh hendak berulang alik ke pejabat dari rumah keluarga di Selangor.

"Selepas puas mencari, sudah menjadi rezeki saya terjumpa rumah yang memang sedang cari penyewa bilik. Kadar sewa pula murah dan tanpa berfikir panjang saya terus terima.

"Tetapi ada juga timbul rasa pelik kerana rumah banglo di kawasan mewah sewanya amat murah tetapi saya tidak terlalu fikirkannya," katanya.

553

Makhluk itu berani memunculkan diri dihadapannya.

Mohd Adha memberitahu, pada awalnya dia berasa selesa duduk di banglo itu apatah lagi mendapat teman serumah daripada pelbagai negeri dan latar belakang yang cukup baik.

Malah disebabkan banglo itu terlalu besar dan mempunyai lapan bilik, keadaan sangat selesa dan masing-masing tidak perlu bersesak-sesak dan cukup ruang untuk privasi.

Tahun pertama menetap di kediaman itu kata Mohd Adha tiada sebarang kejadian pelik yang berlaku namun keadaan berubah selepas insiden terjumpa sebuah anak patung ketika mengemas rumah.

"Teman sebilik saya sedang mengemas dan mengumpul barang-barang lama untuk dibuang dan dia terjumpa sebuah anak patung lama.

"Dia tanya sama ada patung itu milik saya dan apabila saya kata bukan, dia terus membuangnya ke dalam plastik sampah tanpa berfikir ada sesuatu yang pelik tentang patung itu," ujarnya.

Keesokan harinya kata Mohd Adha, dia mula menerima gangguan pelik yang tidak pernah berlaku sebelum ini sehingga membuatkan dia sering berada dalam keadaan ketakutan.

Pada awalnya rakan sebilik tidak percaya dengan apa berlaku, tetapi apabila dia sendiri lihat dengan matanya, barulah dia percaya dan takut hendak tidur dalam keadaan gelap.



MOHD ADHA

Segar dalam ingatannya, kejadian pertama itu berlaku ketika waktu senja apabila ada sesuatu yang bermain suis lampu bilik airnya.

"Biasanya saya akan buka lampu bilik air dan biarkan pintunya terbuka sedikit supaya ada cahaya kalau lampu bilik dipadamkan.

"Saya ingin lelapkan mata sebentar sebab kepenatan sementara menunggu waktu Maghrib tetapi tidak jadi tidur kerana ada benda main lampu bilik air.

"Sekejap tutup, sekejap ia terbuka... dan ia berulang-ulang. Saya sangka lampunya rosak tetapi tidak!" ceritanya.

Mohd Adha berkata, tanpa mengesyaki apa-apa, dia bingkas bangun untuk melihat keadaan lampu tersebut namun terkejut apabila pintu bilik air dibuka.

Menggeletar seluruh badannya apabila melihat makhluk menyerupai seorang budak sedang bertenggek di atas sinki bilik air tersebut.

1459260

Setiap kali dihempap, Mohd Adha tidak dapat bersuara atau menjerit meminta tolong. -Gambar hiasan

Imbaunya, makhluk itu kelihatan seperti kanak-kanak perempuan berusia dalam lingkungan empat tahun, badannya pucat lesi dan berambut pendek hitam.

"Kelibat itu mengingatkan saya pada watak dalam filem Ju-on... apabila nampak saya, ia merangkak laju ke arah saya dan menindih badan saya.

"Apabila ditindih, saya seperti tidak dapat bergerak, hendak minta tolong pun suara seperti terkunci. Tetapi azan Maghrib telah menyelamatkan saya dan ia terus hilang," katanya.

Peristiwa itu tidak berakhir di situ kerana sejak itu ia sering memunculkan diri dan menggangunya dan teman sebilik tanpa mengira masa terutamanya pada waktu senja dan tengah malam.

Sejak itu juga, dia dan teman sebiliknya tidak berani tidur dalam gelap kerana makhluk itu akan muncul menganggu mereka berdua.

"Pada awalnya rakan sebilik tidak percaya dengan apa berlaku, tetapi apabila dia sendiri lihat dengan matanya, barulah dia percaya dan takut hendak tidur dalam keadaan gelap," katanya.

Namun kata Mohd Adha, meskipun tidur dengan lampu terbuka namun beberapa kali dia berasa dihempap sesuatu selain ada tangan menjalar di wajahnya.

Seperti kejadian pertama, setiap kali dihempap makhluk itu, dia tidak mampu mengeluarkan suara apatah lagi meminta tolong meskipun rakan sebiliknya ada di sebelah.

"Setiap kali dihempap, saya pasti akan tersedar tetapi macam mimpi pun ada. Bukan saya sahaja yang kena tetapi teman sebilik pun serupa," jelasnya.

Mohd Adha memberitahu dia merasakan kejadian pelik menimpa mereka berdua ada kaitan dengan patung yang mereka temui. Makhluk itu mungkin menggangu mereka kerana barang permainannya sudah tiada.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain