suria

Anak kecil 2 tahun tiba-tiba berlari ketakutan, bapa saudara sempat rakam video nampak buaian berhayun sendirian

Aiman terkejut apabila melihat anak saudaranya melarikan diri selepas melihat buaian di taman permainan bergerak dengan sendirinya.

BULU roma siapa yang tak meremang apabila melihat buaian yang kosong tiba-tiba berhayun dengan sendirinya apatah lagi ketika itu tiada sesiapa pun di kawasan taman permainan.

Itulah yang berlaku kepada seorang pemuda, Aiman Azmi yang secara tidak sengaja merakam kejadian aneh itu ketika membawa anak saudaranya bermain di taman permainan di kawasan tempat tinggal mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Pintu bilik tutup kemudian terbuka, kaki bagaikan diikat... Pekerja cuci rumah penginapan terkejut video dirakam keluar suara seram

Apa yang lebih menyeramkan cerita Aiman, 25, anak saudara kesayangannya itu, Ary Syakur Syafiq yang berusia 2 tahun tiba-tiba melarikan diri dengan wajah ketakutan apabila melihat buaian itu berhayun dengan sendirinya.

"Ketika kejadian kami baru sahaja sampai ke taman permainan itu dan kebiasaannya selagi tidak gelap, dia akan leka bermain dan tidak mahu balik.

"Tapi pada hari kejadian, dia tiba-tiba lari dengan wajah ketakutan tanpa memperdulikan saya," katanya kepada mStar.



Sudah menjadi rutin Aiman akan membawa Ary ke tman permainan setiap petang.

Aiman sempat merakam kejadian dan memuat naik video berkenaan di laman TikTok miliknya.

Menceritakan kejadian itu, Aiman memberitahu dia sempat merakam buaian yang bergerak kerana sebelum itu dia sedang ralit merakam video gelagat anak saudaranya sedang bermain.

"Saya memang suka rakam video dan gambar gelagat dia sebagai simpanan dan untuk dimuat naik ke laman sosial.

"Masa dia tiba-tiba melarikan diri, telefon saya masih merakam dan apabila saya pusing, saya lihat buaian yang berada di belakang kami berhayun laju.

"Apabila tengok dia lari, saya pun bangun dan mengekor di belakangnya dan terus pulang," ujarnya.

Ada juga netizen yang komen suruh saya pergi kembali ke taman itu kerana dakwa mereka, ada ternampak kelibat putih dalam video berkenaan.

AIMAN AZMI

Reaksi Ary itu katanya mungkin disebabkan kanak-kanak itu dapat melihat sesuatu pada buaian itu.

Bercerita lanjut mengenai kejadian itu, Aiman berkata, ia berlaku pada bulan Ramadan lalu dan dia tak menyangka insiden menyeramkan itu berlaku kepada dirinya sendiri.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Malah ketika kejadian waktu sudah senja dan dia membawa kanak-kanak itu ke taman permainan berkenaan sementara menanti waktu berbuka puasa.

"Sebelum ini saya selalu tengok video buaian bergerak di laman sosial tetapi kali ini saya sendiri yang terkena.

"Benarlah kata-kata orang tua, tidak elok berada di luar rumah ketika waktu senja, mungkin kerana ingin mengelakkan perkara-perkara begini berlaku," jelasnya.



Video yang dikongsi di laman TikTok mendapat perhatian netizen.

Aiman memberitahu Ary turut mengalami demam selepas beberapa hari kejadian itu namun keadaannya tidak serius, mungkin disebabkan terkejut.

Sejak itu juga katanya, dia tidak pernah lagi ke taman permainan tersebut kerana bimbang kejadian serupa akan berulang dan tidak mahu merisikokan keselamatan anak saudara kesayangannya itu.

"Ada juga netizen yang komen suruh saya pergi kembali ke taman itu kerana dakwa mereka, ada ternampak kelibat putih dalam video berkenaan.

"Tapi sejak kejadian itu saya tak pernah ke sana lagi dan biarlah apa yang berlaku itu sebagai pengajaran kepada saya," ujarnya.

Tambah Aiman, dia sebenarnya tidak terkejut sekiranya ada makhluk halus yang 'tinggal' di kawasan permainan itu kerana di belakangnya adalah hutan.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain