suria

Hello newbie! Jangan main siram je... ketahui 6 petua jaga kaktus

Kaktus biasanya ditemui di kawasan kering yang boleh hidup di persekitaran beriklim tropika dan subtropika.

WALAUPUN dikenali sebagai tumbuhan yang jarang mengalami kerosakan, namun kaktus masih memerlukan penjagaan rapi.

Kaktus ialah panggilan kepada tumbuhan berbunga dalam keluarga yang dikenali sebagai Cactaceae.

ARTIKEL BERKAITAN: Sesak nafas dalam rumah sendiri? Tanam sahaja 5 tumbuhan ini untuk hirup udara bersih

Biasanya, tumbuhan ini ditemui di kawasan kering, malah ia boleh hidup di persekitaran kawasan beriklim tropika dan subtropika. Bagaimanapun, kebanyakan spesis kaktus berasal dari Amerika Utara, selain di selatan dan bahagian tengah negara itu.

Cara merawat tumbuhan ini juga tidak menyusahkan, tidak hairanlah ramai yang menjadikan kaktus sebagai tanaman kegemaran dirumah.

Menurut laman Cactus Way and Succulent Care Guide, kaktus mampu tumbuh dalam waktu lama tanpa adanya air, namun ia masih perlu dirawat dengan cara yang berkesan termasuklah;

1. Kawasan yang sesuai

Sesetengah kaktus boleh tumbuh di tanah berpasir dan kering, manakala spesis lain hidup subur di hutan hujan tropika.

Pun begitu, mengenali pelbagai jenis kaktus semasa membeli adalah salah satu cara menjaga kaktus pada peringkat awal.

Pasir juga perlu digunakan sebagai medium penanaman kepada kaktus spesis tropika. Manakala, kaktus padang pasir pula disarankan menggunakan batu apung atau vermikulit sebagai ganti pasir.

Campurkan medium penanaman di atas dengan kulit pain cincang dan lumut gambut. Setelah sebati, siram campuran ke tanaman dengan air sebelum dipindahkan ke dalam pasu.

2. Cara menyiram

Walaupun tumbuh di kawasan kering, kaktus masih memerlukan air untuk hidup.

Kebanyakan kaktus akan tumbuh subur semasa musim kemarau, pada musim inilah, tumbuhan itu perlu disiram dengan kandungan air yang sederhana. Manakala apabila musim hujan, kaktus hanya memerlukan sedikit kelembapan.

Semasa musim kemarau pula, anda boleh menyiramnya seminggu sekali bergantung kepada keadaan tanah. Bagaimanapun, menyiram tanaman ini dengan kandungan air yang banyak akan menyebabkan ia mudah reput.

Dalam pada itu, lokasi penempatan kaktus juga mempengaruhi penyiraman. Sekiranya ia terdedah dengan sinaran matahari, maka ia perlu disiram dengan kerap.

3. Baja yang sesuai

Kaktus juga memerlukan nutrien tambahan untuk membesar dengan baik dan subur, sama seperti tumbuhan lain.

Pastikan penggunaan baja adalah nitrogen rendah yang mengandungi fosforus tinggi.

Pun begitu, pilihan baja mestilah sesuai dengan spesis tanaman dan penggunaan kuantiti yang tidak berlebihan.

Caranya, campurkan satu sudu besar baja nitrogen rendah dengan air, kemudian gunakan larutan itu untuk menyiram kaktus. Lakukan setiap lapan minggu sekali pada musim kemarau.

4. Cahaya matahari

Sinaran cahaya matahari merupakan faktor paling penting untuk semua spesies tumbuhan, baik tanaman diluar mahupun didalam kawasan rumah.

Biasanya, kaktus padang pasir lebih selesa akan pendedahan sinaran cahaya matahari secara langsung.

Namun, spesis kaktus tropika lebih gemar berteduh dengan sedikit pendedahan cahaya matahari.

Perlu diketahui, mereka yang menyimpan kaktus dalam kawasan rumah, pastikan diletak di tempat yang mudah terdedah dengan cahaya matahari menghadap ke timur atau selatan.

5. Cara menangani perosak

Penyakit yang disebabkan oleh bakteria dan kulat akibat penyiraman berlebihan sebenarnya adalah masalah biasa yang dihadapi oleh kaktus. Pada masa sama, kaktus juga boleh diserang oleh perosak seperti kutu putih.

Untuk mengelakkan perosak datang, pastikan kaktus mendapat air dan cahaya matahari yang mencukupi, manakala spesis yang tumbuh subur berisiko rendah diserang perosak.

Bagi menghilangkan kutu putih, gunakan kapas yang dicelup dalam alkohol, kerana menyembur alkohol pada tumbuhan juga boleh membantu.

Sementara itu, bagi anda yang memilih alternatif racun demi menyingkirkan serangga perosak, perhatikan keselamatan penggunaannya terlebih dahulu.

6. Kaedah penjagaan di dalam rumah

Pada asasnya, kaktus akan tumbuh dengan baik jika diletakkan di luar rumah dan mendapat cahaya matahari secara langsung, tetapi sesetengah kaktus juga boleh disimpan di dalam rumah.

Terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian jika anda meletakkan kaktus di dalam rumah, yang pertama ialah peredaran udara.

Seperti yang diketahui, kaktus biasanya tumbuh subur di tempat yang mempunyai udara segar. Pastikan peredaran udara adalah baik di dalam bilik, dengan membuka tingkap semasa musim kemarau supaya kaktus tumbuh dengan baik.

Selain itu, anda juga perlu sekali-sekala meletakkan dan mengeringkannya di luar semasa musim panas. Pastikan tumbuhan itu mendapat cahaya yang perlukan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain