suria

Bela sambil belajar! Ini 4 haiwan yang sesuai jadi peneman anak anda ketika bosan berkurung di rumah

Kura-kura antara haiwan yang boleh dipelihara oleh kanak-kanak.

SEJAK pandemik Covid-19 mengejutkan dunia, ramai daripada kita yang lebih banyak menghabiskan masa di rumah terutamanya kanak-kanak dan golongan warga emas bagi mengelak terkena jangkitan.

Kanak-kanak pasti berasa bosan apabila terperap di dalam rumah kerana tidak banyak aktiviti dapat dilakukan selain menghadiri kelas secara dalam talian atau menonton televisyen dan menonton YouTube.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemilik sebenarnya tak perlu mandikan kucing, pakar haiwan jelaskan sebabnya!

Sebenarnya ada cara lain untuk mengalih perhatian anak-anak iaitu dengan membenarkan mereka membela haiwan peliharaan. Ini kerana kebanyakan kanak-kanak cenderung menunjukkan kasih sayang kepada haiwan apabila sudah memilikinya.

Sayangnya, tak semua ibu bapa suka dengan idea memelihara haiwan kerana bimbang masalah seperti elergi atau mereka sendiri tidak dapat memberikan komitmen menjaga haiwan itu nanti.

Namun sebenarnya, memiliki haiwan peliharaan mempunyai banyak manfaat untuk anak-anak dan berikut adalah lima haiwan peliharaan yang boleh menjadi pertimbangan ibu bapa.

1. Kucing

Kucing adalah seekor haiwan yang penyayang dan akan sering meminta perhatian. Kucing juga lebih mudah diuruskan dan dijaga berbanding haiwan lain seperti anjing.

Menerusi si bulus ini, kanak-kanak boleh mempelajari tentang nilai kasih sayang serta bertanggungjawab terhadap apa diamanahkan kepada mereka.

Sesuai dengan situasi masa ketika ini, kehadiran seekor anak kucing boleh membuatkan mereka sentiasa aktif dan tidak hanya membuang masa dengan gajet.

2. Ikan

Memelihara ikan juga boleh menjadi pilihan kerana ia adalah haiwan yang ideal untuk kanak-kanak memandangkan ia tidak memerlukan perhatian setiap masa.

Ikan kebiasaannya sangat tenang namun memerlukan akuarium yang sesuai bagi memastikan ia selesa dan dapat berenang dengan bebas. Namun, harus diingat memberi makan kepada ikan perlu mengikut jadual termasuk membersihkan akuarium.

Ibu bapa juga boleh melibatkan anak-anak dengan aktiviti menghias akuarium agar terbit rasa sayang dan tanggungjawab terhadap ikan peliharaan mereka.

3. Hamster

Hamster bukan sahaja comel tetapi mudah dijaga dan dilatih. Cuma, ia memerlukan kandang yang luas serta sarang sebagai tempat tidurnya.

Bagaimanapun terdapat sesetengah jenis hamster mudah bersikap agresif sehingga sukar untuk mengawalnya. Oleh sebab itu, penting bagi ibu bapa memilih hamster yang sesuai dengan anak-anak mereka.

4. Kura-kura

Kura-kura adalah haiwan yang mempunyai perwatakan pendiam dan memerlukan penjagaan minimum. Ia mampu menjadi pendamping yang baik bagi anak jika mereka ingin berkongsi cerita dengan makhluk hidup selain ibu bapa mereka.

Penjagaan kura-kura juga tidak sukar hanya perlu menyiapkan kandang khusus buat mereka termasuk peralatan seperti filter dan lampu pemanas.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain