Susahnya berkomunikasi ketika pakai mask... Ketahui cara kenali 6 emosi ini melalui mata

Apabila memakai pelitup muka memang sukar untuk membaca ekspresi wajah seseorang ketika berbual.

PEMAKAIAN pelitup muka adalah salah satu cara untuk mencegah penularan Covid-19 terutamanya ketika berada di tempat awam.

Bagaimanapun, normal baharu itu turut datang dengan beberapa cabaran dan masalah termasuklah kesukaran bernafas, solekan melekat pada pelitup muka sehinggalah sukar membaca ekspresi wajah orang lain.

The Healthy melaporkan perkara itu terjadi kerana sebahagian besar komunikasi berlaku berdasarkan isyarat visual, bahasa tubuh dan pergerakan otot wajah seperti bibir, hidung dan pipi.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki bersuara 'macho' lebih cenderung berlaku curang? Itu kata kajian, betul ke?

Semua bahagian ini seolah-olah menjadi kabur ketika kita memakai pelitup muka sehingga sukar membaca ekspresi wajah seseorang sama ada mereka sedang senyum, marah atau sedih.



Pemakaian pelitup muka sudah menjadi normal ketika ini.

Pakar bahasa tubuh dan komunikasi, Patti Wood mengatakan, apabila berkomunikasi menggunakan pelitup muka, kita sebenarnya mampu membaca isyarat mata seseorang.

"Mata kita telah berevolusi tanpa sedar untuk memberi respons terhadap apa kita lihat dan dengar," katanya.

Contohnya kata Patti, ketika kita melihat sesuatu yang menakutkan, mata secara semula jadi akan menjadi lebar untuk memperluaskan penglihatan dan meningkatkan jumlah cahaya.

Patti menganggap 'bahasa mata' sebenarnya sudah menjadi kebiasaan kepada manusia.

Bagaimanapun terdapat beberapa halangan yang terpaksa dilalui seperti melihat ke arah mata orang lain dalam tempoh lama boleh menjadi sesuatu yang sukar.

Jadi bagaimana caranya untuk membaca ekspresi wajah seseorang ketika mereka memakai pelitup muka?

1. Berbohong

Patti menjelaskan ketika sedang berbual, jika individu itu menutup matanya ia adalah tanda bahawa seseorang itu sedang berbohong.

Secara fisiologi, ketika berbohong, seseorang akan cuba melarikan pandangan selain mata berkedip lambat.

2. Gembira dan sedih

Mata yang gembira memiliki ciri yang khas iaitu berkerut di bahagian luar kerana individu tersebut sedang tersenyum dan pipi naik ke atas.

Sementara mata yang sedih cenderung kelihatan terkulai dan kelihatan kusam dan 'kosong'.

3. Terkejut

Kita tidak perlu melihat mulut orang lain untuk memastikan bahawa mereka sedang terkejut. Ini kerana, mata orang yang terkejut akan terbuka lebar dan kening akan terjungkit ke atas.

4. Marah

Kita memang tidak akan melihat lubang hidung yang sedang melebar atau sedang mengetap gigi untuk mengetahui seseorang itu sedang marah ketika memakai pelitup muka.

Tetapi kita boleh melihat otot matanya yang menegang dan kening yang tertarik ke bawah ketika seseorang itu sedang marah. Selain itu, mata mereka sendiri mungkin menatap tajam pada sumber kemarahannya.

5. Cemas

Biasanya apabila seseorang berasa cemas mereka akan mengerdipkan matanya dengan cepat.

6. Tertarik

Jika kamu bertemu seseorang buat kali pertama dan si dia memakai pelitup muka, ada banyak perkara yang dapat 'dibaca' daripada matanya termasuklah niat mereka.

Sebagai contoh, seorang lelaki mungkin akan mengerutkan keningnya, ia menunjukkan dia berniat baik dan ingin anda berasa selamat dengannya.

Pun begitu, semua tanda ini bukanlah 100 peratus tepat sebaliknya, ia perlu disokong dengan perkara lain seperti perbualan dan lenggok tubuh yang lain.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain