suria

Komer tahu ke... Ramai tak senang duduk dek 'The World of Married', kalau layan FB 'Masak Apa Tak Jadi Hari Ni' jangan serius sangat!

Laman Masak Apa Tak Jadi Hari Ni? dan drama The World of Married menjadi perhatian ketika ini.

NAMPAKNYA Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disambung lagi sehingga 12 Mei 2020 dan jangan terkejut jika ia dilanjutkan sehingga Aidilfitri.

Memang kes positif Covid-19 di Malaysia menunjukkan penurunan ketara sejak kebelakangan ini, namun itu bukan bererti kita boleh bersorak dan merasakan selamat daripada ancaman wabak membunuh itu!

Jujurnya, Teman berharap agar PKP ini dilanjutkan sehingga Aidilfitri kerana jika ia ditamatkan tidak mustahil akan timbul gelombang baharu memandangkan ramai daripada kita pasti akan pulang ke kampung dan berkumpul bersama saudara mara.

ARTIKEL BERKAITAN : Sap sap sui! Apa maksudnya ye? Jom semak... ada 'bank' kumpul slang rakyat Malaysia

Tak pasal-pasal terpaksa bermula dari kosong dan menjalani rutin PKP sekali lagi. Pasti semua tak mahu itu berlaku, kan? Jadi berkorbanlah sikit dan ikut semua saranan kerajaan.

Teman faham, sudah masuk minggu keenam tak dapat keluar dan terperap dalam rumah memang boleh jadi 'gila'. Teman sendiri kadang-kadang tak tahan dan rasa sesak nafas.

Apabila sudah sampai tahap ini, mesej group WhatsApp pun rasa sudah malas hendak balas yang sebelum ini jadi medium menghilangkan bosan berbual-bual dengan rakan-rakan.



Bukan sahaja di Malaysia, drama The World of Married turut trending di Korea Selatan.

Panggilan video apatah lagi... Sebelum ini sehari tiga kali tapi sudah masuk minggu keenam, kita sendiri pun dah tak kuasa nak jawab.

Mujur seminggu dua ini, ada dua tiga perkara yang berjaya mengalihkan perhatian kita agar tidak terlalu bosan ketika berada di rumah.

Ketika ini, pasti ramai yang tak senang duduk menantikan episod 11 dan 12 drama Korea Selatan, The World Of Married lakonan mantap Kim Hee Ae sebagai Ji Sun Woo dan Park Hae Joon (Lee Tae Oh).

Buka sahaja Twitter, Facebook rata-rata melahirkan rasa geram dengan Lee Tae Oh yang sanggup bersikap curang terhadap isterinya demi wanita lain.

Sampai ada yang nak cari laman sosial pelakon watak antagonis semata-mata ingin meluahkan rasa tak puas hati dengan lakonan mereka.

Plot kisah adaptasi siri terbitan BBC berjudul Dr. Foster ini memang cukup mendebarkan sehingga mampu membuatkan sesiapa sahaja yang menonton meluap-luap menahan kemarahan.

Itu belum lagi perasaan sedih, dibenci, disayangi dan dikhianati yang menambah bara penonton.

Teman sendiri pun terjebak menonton - dan sesungguhnya mula rasa menyesal kerana tiada kesabaran menunggu episod seterusnya!

Duduk di rumah kerana PKP pun boleh bersabar lagi, tapi drama yang satu ini tak keruan dibuatnya. Bagi yang belum menonton, The World of Married sangat sesuai untuk hilangkan bosan.



Pelbagai masakan yang dikongsi pengguna Facebook.

Selain itu, teman perhatikan cukup ramai terhibur dengan koleksi masakan tidak menjadi yang dikongsi pengguna Facebook di laman Masak Apa Tak Jadi Hari Ni Official.

Tak kering gusi ketawa melihat gelagat rakyat Malaysia ketika di dapur. Tak hairanlah page itu sehingga kini mencecah 1.7 juta pengikut hanya dalam tempoh dua minggu.

Sampaikan ia turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan Perutusan Khas pada 23 April lalu.

Kewujudan page itu sedikit sebanyak membuatkan kita lupa tentang PKP dan ia juga sebenarnya bukti ramai daripada kita yang belajar memasak di rumah walaupun hasilnya tidak seperti diharapkan.

Tidak mengapa, itu semua usaha. Mana tahu disebabkan ikan goreng hangus itulah membuatkan kita boleh masak sambil pejam mata suatu hari nanti.

Bagi yang meninggalkan komen, janganlah lebih-lebih pula, sepatutnya anggap sahaja ia hiburan kosong. Tak pasal-pasal ada yang sentap sampai buat laporan polis.

Semuanya gara-gara tak berpuas hati gambar masakan tak jadi yang dikongsinya mendapat kecaman netizen. Alahai, akak pun sebelum nak post tu patut kena bersedia dengan kecaman dan janganlah serius sangat!

Apa-apa pun, suka tak suka, PKP tetap dilanjutkan bagi kebaikan kita semua dan negara. Selebihnya terletak pada diri kita sendiri bagaimana ingin mencorakkan masa yang ada agar ia terisi dengan perkara berfaedah dan menggembirakan. Stay safe!

Artikel Lain