suria

Wow! Atuk 62 tahun pecah rekod dunia 'plank' lebih 8 jam

George Hood berjaya memecahkan rekod dunia apabila berjaya membuat plank selama lapan jam, 15 minit dan 15 saat.

WARGA emas berusia 62 tahun dari Illinois, Amerika Syarikat memecahkan rekod dunia apabila berjaya melakukan senaman plank selama lapan jam, 15 minit dan 15 saat.

Lelaki berkenaan, George Hood memecahkan rekod The Longest Male Abdominal Plank di Chicago menurut Guinness World Records.

Sebelum ini, rekod itu dipegang oleh Mao Wei Dong dari China apabila berjaya membuat plank selama lapan jam dan satu minit pada 2016.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu kaki gaduh, 8 kali keluar-masuk lokap... bekas gangster kini bergelar petinju profesional

Menceritakan persediaannya, George memberitahu dia menghabiskan masa selama 2,100 jam melakukan latihan plank sebelum membuat percubaan itu.

Lebih membanggakan, George menamatkan percubaan itu dengan melakukan 75 kali tekan tubi.

George berlatih selama beberapa bulan sebelum membuat percubaan memecahkan rekod. 

Bercakap mengenai kejayaannya itu, George berkata, percubaan nekadnya itu bukan semata-mata untuk mencatat sejarah sebaliknya dilakukan demi tiga anaknya.

Tidak cukup dengan itu, bekas anggota marin itu juga ingin meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung kesihatan mental.

Dan atas dasar itu juga, George mencatatkan sejarah itu pada 15 Februari lalu di 515 Fitnees iaitu sebuah pusat kecergasan yang memfokuskan kepada senaman merawat masalah kesihatan mental.

"Saya bapa kepada tiga anak dan sebahagian daripada apa yang saya lakukan ini adalah untuk mereka.

George mengakui cabaran itu menguji ketahanan mental.

"Apa saya buat ini juga kerana ingin membantu meningkatkan kesedaran tentang masalah kesihatan mental dan harapan saya agar stigma terhadap mereka mengalami masalah ini dapat dihapuskan," katanya.

Sepanjang lapan jam melakukan plank, George memberitahu cabaran itu menguji ketahanan mentalnya namun dia tetap bertahan kerana membawa satu misi bersamanya.

"Sepanjang cabaran itu saya membayangkan diri sebagai sebatang pokok yang bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Seperti teguhnya pokok dengan akar-akar mengikat di tanah, saya tetap teguh dalam posisi tanpa sebarang keraguan," ujarnya.

Puas dapat memecahkan rekod dunia itu, George turut mengumumkan persaraannya pada acara sama.

Artikel Lain