suria

Faiz Nor, bekas Mister Global Malaysia impi berlakon dengan Neelofa, Bront Palarae

Faiz Nor. Foto NUR ATHIRAH FARHANA

DRAMA bersiri 14 episod yang diadaptasi daripada novel Encik Imam Ekspres bakal menemui penonton menerusi episod terakhir pada Selasa.

Dibintangi pelakon-pelakon popular seperti Fikry Ibrahim, Nelydia Senrose, Sherry Ibrahim, Ben Amir, Anne Abdullah, Badrul Muhayat termasuk pelakon yang meningkat naik, Elisya Sandha, drama bersiri ini ditayangkan menerusi slot MegaDrama di Astro Ria.

Namun, tidak ramai yang menyedari drama popular ini turut dibintangi bekas Mister Global Malaysia yang mewakili pertandingan itu di peringkat antarabangsa pada 2015.

Tuan Mohd Faiz Tuan Mohd Nor atau lebih dikenali sebagai Faiz Nor memegang watak tambahan sebagai Azman, suami kepada Mira lakonan Sherry Ibrahim.

Faiz Nor (berdiri, kanan) bersama para pelakon drama bersiri Encik Imam Ekspres. Foto ihsan Faiz Nor

Pemuda berusia 29 tahun ini berkata, wataknya sebagai suami yang sering bertugas di luar kawasan dan berdepan konflik dengan isteri kerana kekangan masa bersama keluarga.

"Saya memegang watak yang serius. Walaupun sekadar watak tambahan, tapi saya bersyukur diberikan peluang dan pendedahan berlakon bersama pelakon-pelakon popular.

"Sebelum ini saya hanya memegang watak tambahan dan menjadikan kerjaya lakonan hanya sambilan. Tapi kini saya sudah bersedia untuk 'all out'," katanya kepada mStar Online.

Faiz Nor mewakili Malaysia bagi pertandingan Mister Global di Bangkok, Thailand pada 2015. Foto Mister Global Malaysia

Anak jati Pasir Puteh, Kelantan ini mewakili Malaysia ke pertandingan Mister Global 2015 di Bangkok, Thailand dan mendapat Top 3 bagi kategori Bakat Terbaik dan Fizikal Terbaik.

Encik Imam Ekspres merupakan drama keenam yang dibintanginya sejak 2016, pertama kali berlakon sebagai pelakon tambahan menerusi drama bersiri Bencinta, di samping pelakon utama Fattah Amin dan Fathia Latiff, selepas menyertai pertandingan itu.

Walaupun selama ini hanya memegang watak tambahan, tapi ada yang menyedari kehadiran saya dalam industri. Bila mereka mengenali saya menerusi drama lakonan saya, ia cukup buat saya terharu.

FAIZ NOR

Faiz Nor yang merupakan anak kedua daripada lima beradik ini berkata, dia kini merupakan jurulatih kecergasan sepenuh masa dan turut menjadi model sambilan.

"Sebelum ini saya belum menjadikan kerjaya lakonan sebagai sepenuh masa, dan pada masa sama mahu belajar dan mendapat pendedahan untuk menjiwai pelbagai watak.

"Saya pernah memegang watak yang serius dan antagonis, jadi kali ini saya nak mencabarkan diri untuk membawa watak lebih berat seperti seorang psiko," tambahnya.

Selain bergelar pelakon, Faiz Nor juga merupakan jurulatih kecergasan.

Sebelum menjadi jurulatih kecergasan lapan tahun lalu, pemuda berkelulusan Diploma Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini pernah berniaga menjual burger di gerai tepi jalan, dan kini mengusahakan perniagaan baju dan skaf.

Bercita-cita menjadi usahawan yang berjaya, pemuda ini amat mengagumi ahli perniagaan dan hartawan, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Dalam pada itu, dia turut menjadikan Bront Palarae sebagai idola dalam dunia lakonan dan menyifatkan pelakon senior itu serba boleh dan berbakat besar.

"Saya menyukai cara beliau berlakon. Bukan setakat watak antagonis dan berlakon aksi, tetapi beliau juga boleh melakonkan watak romantik dan komedi.

"Saya mengimpikan untuk berlakon dengan Bront Palarae suatu hari nanti. Kalau pelakon wanita, saya berharap dapat berlakon bersama Neelofa," katanya.

Model sambilan ini turut mengusahakan perniagaan baju dan skaf.

Sebagai pendatang baharu, Faiz Nor mengakui mengimpikan watak utama, dan sebab itu dia tidak berputus asa dengan mencari pengalaman dan mendapat pendedahan.

"Walaupun selama ini saya hanya memegang watak tambahan, tetapi ada yang menyedari kehadiran saya dalam industri. Bila mereka mengenali saya menerusi drama lakonan saya, ia cukup buat saya terharu," katanya.

Tuan Mohd Faiz, Faiz Nor

Artikel Lain