suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Tak payah bazir duit hantar kelas seawal usia 3 tahun, wanita kongsi teknik santai anak cepat membaca

Setiap ibu bapa mahu anak-anak boleh membaca di usia muda. -Gambar hiasan AI

RAMAI ibu bapa berlumba-lumba menghantar anak ke kelas membaca seawal usia tiga atau empat tahun dengan harapan si kecil cepat menguasai kemahiran tersebut sebelum memasuki alam persekolahan.

Namun malangnya, tidak semua berjaya membantu anak-anak dengan cara tersebut sehingga ada meluahkan rasa kecewa di media sosial.

Menyedari perkara itu, seorang wanita tampil berkongsi pendekatan berbeza dalam membantu kedua-dua anaknya membaca dalam bahasa Melayu serta Inggeris pada usia lima tahun.

Malah menerusi laman Threads di akaun @shuraizahs, Siti Huraizah menjelaskan teknik dilakukan itu tidak memberi tekanan terhadap pembelajaran formal sebaliknya lebih santai dan menepati 'jiwa' kanak-kanak. 

"Saya tidak mengajar anak membaca secara formal ketika mereka kecil, malah hanya memperkenalkan pembelajaran fonik (phonics) kepada anak lelaki pada usia enam tahun dan anak perempuan lima tahun," jelasnya.

Ini beberapa amalan dilakukan di rumah sehingga secara tidak langsung memupuk minat membaca dalam diri anak-anaknya.

Aktiviti mewarna dan melukis dapat membantu anak-anak cepat belajar.

Aktiviti mewarna dan melukis dapat membantu anak-anak cepat belajar. 

1. Banyakkan masa bermain

Katanya, sebahagian besar zaman kanak-kanak anaknya diisi dengan aktiviti bermain secara bebas termasuk di luar rumah, permainan sensori, seni, lawatan ke muzium, perpustakaan, zoo dan ladang.

Siti Huraizah percaya pengalaman itu lebih banyak membantu proses pembelajaran berbanding kelas formal.

2. Biasakan aktiviti membaca bersama

Dia turut menjadikan membaca buku sebagai rutin harian seperti ketika waktu snek, makan tengah hari dan sebelum tidur.

Di setiap sesi tersebut, dia turut menyelitkan kisah para nabi serta cerita rakyat bagi memupuk rasa cinta terhadap buku, bukannya semata-mata mengajar membaca.

3. Wujudkan persekitaran yang merangsang pembelajaran

Di rumah, Siti Huraizah menyediakan pelbagai bahan seperti puzzle abjad, papan menulis, huruf magnet, poster dan buku di tempat yang mudah dicapai tanpa memaksa anak menggunakannya.

Menurutnya, kebanyakan kanak-kanak akan meneroka sendiri apabila tidak berasa tertekan.

Membaca bersama anak-anak dapat membantu perkembangan pendidikan. -Gambar hiasan AI

Membaca bersama anak-anak membantu perkembangan pendidikan. -Gambar hiasan AI

4. Galakkan menulis sebelum membaca

Dia juga sentiasa menyediakan kertas, pensel warna, gunting dan gam supaya anak bebas melukis, membuat kad atau papan tanda sendiri.

Apabila anak bertanya cara mengeja sesuatu perkataan, dia hanya menulis untuk dicontohi tanpa membetulkan cara mereka memegang pensel atau memberi bimbingan secara formal.

5. Bermain dengan bunyi sebelum belajar fonik

Sebelum memperkenalkan fonik, dia terlebih dahulu memperkenalkan permainan berkaitan bunyi seperti lagu kanak-kanak, pantun, sajak, tepukan suku kata serta mengenal pasti bunyi awal sesuatu perkataan.

Bagi Siti Huraizah, kaedah yang melibatkan pergerakan badan lebih mudah difahami oleh kanak-kanak.

Selain itu, dia turut menggalakkan anak melukis berdasarkan apa yang dibayangkan selepas mendengar cerita atau puisi tanpa memberikan jawapan yang betul atau salah.

Katanya, hanya selepas anak lelakinya berusia enam tahun barulah pembelajaran fonik diperkenalkan bagi memastikan dia benar-benar memahami hubungan antara huruf dan bunyi, bukan sekadar menghafal perkataan.

Sementara itu, anak perempuannya yang kini berusia lima tahun masih meneruskan pendekatan pembelajaran secara semula jadi tanpa kelas membaca formal.

Artikel Lain