suria

Hampir separuh kes kanser dunia mungkin boleh dicegah dengan meninggalkan 2 tabiat - Kajian

Tembakau (rokok) merupakan faktor penyumbang terbesar kepada kanser dengan 33.9 peratus kes di seluruh dunia. Gambar hiasan. Foto: AFP

BERDASARKAN penemuan satu kajian global, The Global Burden of Disease Study, baru-baru ini, hampir separuh daripada kanser di seluruh dunia dikesan berpunca daripada faktor risiko yang diketahui, terutamanya tembakau (rokok) atau alkohol.

Menerusi kajian yang dijalankan sebagai sebahagian daripada program penyelidikan besar yang dibiayai oleh Yayasan Bill Gates dan kemudian diterbitkan dalam jurnal The Lancet, dapatan yang diperolehi menyimpulkan bahawa 44.4 peratus daripada kematian akibat kanser di seluruh dunia adalah disebabkan oleh faktor risiko yang diketahui.

Kajian tersebut merupakan program penyelidikan serantau dan global yang komprehensif melibatkan beribu-ribu penyelidik dari kebanyakan negara di seluruh dunia.

Ia menganalisis kesan 34 faktor risiko dan mengesahkan apa yang telah diketahui secara meluas, bahawa tembakau (rokok) merupakan faktor penyumbang terbesar kepada kanser dengan 33.9 peratus kes, diikuti oleh alkohol dengan 7.4 peratus kes.

Lebih separuh daripada kadar kematian akibat kanser dalam kalangan lelaki adalah disebabkan oleh faktor risiko tersebut, manakala ia menyumbang lebih satu pertiga daripada kematian dalam kalangan wanita.

Tabiat pengambilan akohol turut menjadi penyumbang kepada kanser.

Memandangkan faktor risiko utama yang menyumbang kepada kanser global pada 2019 adalah tabiat, justeru kajian tersebut menyimpulkan bahawa perubahan tingkah laku atau tabiat secara tidak langsung dapat mengurangkan kematian akibat kanser di seluruh dunia.

Ia juga merumuskan, penekanan yang lebih besar harus diberikan kepada pencegahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Teringin payudara kencang dan montok! Dua sahabat nyaris maut terkena sawan, suami bocor rahsia isteri suntik ‘breast filler’ di rumah

"Beban kanser kekal sebagai cabaran kesihatan awam yang penting yang semakin meningkat di seluruh dunia," kata Pengarah Institut Metrik Kesihatan, School of Medicine, Universiti Washington, Profesor Christopher Murray, merangkap pengarang kanan bersama kajian berkenaan.

"Merokok terus menjadi faktor risiko utama untuk kanser di seluruh dunia, dengan penyumbang besar lain kepada beban kanser berbeza-beza," tambahnya lagi.

Walau bagaimanapun menurut kajian tersebut juga, kira-kira separuh daripada kanser tidak dikaitkan dengan faktor risiko yang diketahui.

Ia bermakna diagnosis awal dan rawatan yang berkesan perlu seiring dengan usaha untuk meningkatkan usaha pencegahan. - AFP Relaxnews

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain